BERITA SEMASA

KPDN Selangor siasat dakwaan RON95 bercampur air

CYBERJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor sedang menyiasat dakwaan mengenai petrol RON95 bercampur air sehingga menyebabkan kerosakan kenderaan pengguna di beberapa kawasan di negeri berkenaan.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima 10 aduan rasmi mengenai isu itu.

Susulan aduan diterima, beliau berkata, pihaknya menjalankan siasatan lapangan dan tindakan penguatkuasaan di tujuh premis stesen minyak, semalam.

“Hasil di lapangan, sebanyak 27 tin sampel petrol RON95 telah diambil dan disita daripada pam pengisian yang terjejas untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi analisis makmal,” katanya, hari ini.

Pemeriksaan awal mendapati, kesemua premis berkenaan memiliki Lesen Kebenaran Khas (CSA) dan lesen di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) yang masih sah.

Katanya, KPDN juga mengeluarkan notis di bawah Seksyen 32 Akta Perihal Dagangan 2011 supaya pemilik stesen minyak mengemukakan maklumat dan dokumen berkaitan perniagaan untuk membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan berhubung kemungkinan berlaku pelanggaran Seksyen 5(1)(c), dibaca bersama Seksyen 6(1)(d) dan Seksyen 7 Akta Perihal Dagangan 2011, berkaitan dakwaan perihal dagangan palsu berhubung kandungan petrol yang dibekalkan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua syarikat dan pengusaha stesen minyak supaya memastikan tangki simpanan bawah tanah diselenggara secara berkala serta mematuhi standard keselamatan dan kualiti yang ditetapkan.

Dalam masa sama, Hanif turut menasihati pengguna yang terjejas untuk menyimpan resit rasmi pengisian petrol serta laporan pemeriksaan bengkel sebagai dokumen sokongan bagi tujuan aduan dan membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button