Konsert Ulang Tahun Ke-40 Wings tetap diteruskan – Penganjur
KUALA LUMPUR – Konsert Ulang Tahun Ke-40 Wings yang dijadualkan berlangsung 28 November depan di Idea Live Arena, Damansara, akan tetap diteruskan.
Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Rumah Produksi Merah (RPM), Datuk Eddy Amir Salim berkata, penganjuran konsert itu tidak terjejas walaupun dua anggota asal kumpulan tersebut mengumumkan pengunduran diri mereka, semalam.
Jelas beliau, konsert tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap empat dekad perjalanan seni kumpulan yang menjadi ikon muzik rock Malaysia sejak tahun 1985.
“Ulang tahun ke-40 ini bukan sekadar persembahan, ia adalah satu penghargaan kepada nama Wings yang telah menghiburkan peminat selama empat dekad.
“Kami ingin memastikan setiap penonton membawa pulang kenangan indah bersama lagu-lagu ikonik Wings,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, Eddy turut menzahirkan ucapan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Eddie dan Black, serta mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan oleh Allah SWT.
Beliau kemudiannya berkata, segala persiapan berjalan lancar dan para peminat boleh menjangkakan pengalaman konsert yang epik serta penuh nostalgia.
“Setakat ini, jualan tiket telah mencecah 90 peratus dan hanya sekitar 10 peratus baki tiket masih tersedia untuk peminat yang belum membuat pembelian,” katanya lagi.
Semalam, peminat rock tempatan dikejutkan dengan pengumuman Eddie dan Black mengenai pengunduran mereka daripada kumpulan legenda tersebut tanpa memberikan sebarang sebab.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















