Kolej Islam As Sofa raikan Israk Mikraj dengan ilmu, amal
ISRAK dan Mikraj merupakan satu peristiwa luar biasa dan teragung yang dialami oleh Rasul junjungan, Nabi Muhammad SAW.
Ia adalah perjalanan yang mengandungi hikmah terbesar bukan sahaja umat Islam bahkan seluruh umat manusia.
Justeru, dalam usaha menyemarakkan peristiwa agung ini, Kolej Islam As Sofa (KIS) telah menganjurkan Majlis Ihya’ Israk Mikraj di kampus mereka yang terletak di Hulu Langat, Selangor.

Ketua Eksekutif KIS, Dr. Muhammad Sufi Ibrahim berkata, Israk merujuk kepada perjalanan malam dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis, manakala Mikraj pula merujuk kepada peristiwa di mana Baginda SAW diangkat ke langit untuk menerima wahyu dan petunjuk daripada Allah SWT.
“Peristiwa ini bukan hanya menguatkan keimanan umat Islam, tetapi juga menggariskan kewajipan solat sebagai tiang agama yang harus dijalani setiap hari.
“Hakikatnya, Israk Mikraj adalah simbol betapa besar dan agungnya kuasa Allah SWT serta kasih sayang-Nya terhadap Rasulullah SAW serta seluruh hamba-Nya yang taat,” kata beliau kepada Malaysia Tribune.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Kumpulan Pendidikan Sofa merangkap Pengerusi KIS, Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin dan Ketua Eksekutif Kumpulan Pendidikan Sofa, Dr. Mohd Amirul Isma Md Yusuf.

Menurutnya Dr. Muhammad Sufi lagi, program yang diadakan itu bertujuan untuk menghayati serta memperkukuh kefahaman umat Islam terhadap perjalanan suci yang dilalui Baginda SAW.
Ia bermula pada pukul 2.30 petang dengan pembacaan al-Quran sejuzuk (Hizb Syahar) serta Ikhtitam Salawat Dala’il al-Khairat, yang membangkitkan suasana penuh ketenangan dan keberkatan.
“Kemudian, hadirin dibawa menyelami hikmah dan pengajaran daripada peristiwa Isra’ dan Mi’raj menerusi periwayatan Kitab al-‘Uqud al-Fāiqah al-Durriyyah.
“Kitab ini mengupas perjalanan agung Rasulullah SAW, menyentuh aspek rohani serta falsafah yang mendalam di sebalik peristiwa tersebut,” jelasnya.

Selepas solat Asar, majlis diteruskan dengan periwayatan kitab hingga selesai.
Pada sebelah malam pula, selepas solat Maghrib, satu Forum Perdana telah diadakan bagi mengupas kelebihan serta keagungan Israk dan Mikraj sebagai bukti kehebatan Rasulullah SAW sebagai kekasih Allah SWT.
Selain itu, satu sesi istimewa turut diadakan di mana hadirin berpeluang memahami lebih lanjut mengenai sanad hadis yang bersambung kepada Rasulullah SAW dan Nabi Ibrahim AS.
Sesi ini dikendalikan oleh Syeikh Muhammad Fuad yang turut menganugerahkan ijazah sanad kepada mereka yang hadir.

“Tradisi ilmu bersanad ini adalah warisan agung Islam yang menjadi tunjang kekuatan umat sejak zaman Rasulullah SAW dan terus dipelihara oleh para ulama hingga ke hari ini.
“Majlis Ihya’ Israk Mikraj anjuran KIS bukan sahaja menjadi medan ilmu dan ibadah, tetapi juga satu usaha berterusan dalam memelihara serta menyampaikan warisan ilmu Islam kepada generasi kini dan akan datang,” kata beliau.
Dengan adanya program sebegini, diharapkan kefahaman umat Islam terhadap sejarah serta hikmah di sebalik peristiwa Israk dan Mikraj semakin bertambah, seterusnya memperkukuhkan hubungan mereka dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment