
DI dalam kehidupan umat Islam, amal kebaikan seperti sedekah, solat sunat, zikir dan menuntut ilmu sering kali menjadi ukuran ketakwaan seseorang hamba kepada Allah SWT.
Selain mengerjakan ibadah wajib, amalan-amalan sunat ini sangat dituntut dalam agama sekali gus mendidik diri ke arah jalan yang diredhai Tuhan.

Namun, di sebalik amal-amal yang zahirnya kelihatan soleh, tersembunyi satu ancaman yang lebih halus tetapi sangat berbahaya iaitu tipu daya syaitan yang membalut kejahatan dalam rupa kebaikan.
Inilah antara inti utama yang dihuraikan oleh Pengarah Hubungan Antarabangsa Kolej Islam As Sofa, Ustaz Salahuddin Azraei dalam kuliah mingguan beliau bersumberkan kitab Bidayatul Hidayah karangan Imam al-Ghazali di KIS Hulu Langat baru-baru ini.
Menurut beliau, tidak semua orang yang menuntut ilmu atau melakukan kebaikan akan diterima amalannya di sisi Allah.
BACA : Kolej Islam As Sofa raikan Israk Mikraj dengan ilmu, amal
“Hal ini berlaku apabila seseorang itu masih dikuasai oleh nafsu amarah bissu’ iaitu dorongan jahat dalam diri yang mendorong kepada kelalaian dan penangguhan.
“Kalaulah diri kita suka menangguh-nangguh, suka memanjangkan waktu dengan berkata ‘nantilah saya datang kuliah, nantilah saya sedekah’, maka orang itu walaupun dia menuntut ilmu, sebenarnya masih berada dalam nafsu jahat,” ujar beliau.

Ustaz Salahuddin turut mengingatkan bahawa syaitan tidak sentiasa menyesatkan manusia melalui maksiat terang-terangan, tetapi sebaliknya melalui cara yang lebih licik.
“Syaitan juga pandai. Ia berusaha menampilkan kebaikan palsu, lalu menanam rasa riak, ujub dan takabbur dalam hati manusia.
“Inilah yang akan menyebabkan seseorang itu letih dalam beramal, bahkan berdukacita di akhirat kelak apabila amalannya ditolak oleh Allah,” tegas beliau.
Menurutnya lagi, Allah SWT telah memberi peringatan jelas dalam surah Al-Kahfi, ayat 103 dan 104 yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Mahukah Kami khabarkan kepada kamu tentang orang-orang yang paling rugi amal perbuatannya?’ Iaitu orang-orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia, sedang mereka menyangka bahawa mereka sedang melakukan sesuatu yang baik.”
Tambah beliau, perkara itulah yang sangat ditakuti para ulama tasawuf jika amalan ditolak pada hari perhitungan kelak.
“Fenomena ini juga dikenali sebagai istidraj iaitu seseorang terus diberi nikmat dan kejayaan dalam dunia, namun hakikatnya sedang dijauhkan dari rahmat Allah SWT.
“Syaitan memperdayakan manusia secara berperingkat, sehinggalah amal soleh yang dilakukan menjadi jalan kepada kebinasaan kerana tidak disertai dengan keikhlasan dan kefahaman hakiki,” tegasnya lagi.

Malah, Ustaz Salahuddin mengumpamakan keadaan tersebut seperti perilaku kaum Yahudi yang disebut dalam Al-Quran.
“Mereka nampak seolah-olah berilmu dan beramal, namun hakikatnya hati mereka telah dikuasai kebencian dan kesesatan,” katanya.
BACA : Siapa pun penerima sedekah tetap ada ganjarannya
Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras kamu dan harta kamu, tetapi Dia melihat kepada hati dan amalan kamu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Oleh itu, jelas beliau, ilmu tasawuf memainkan peranan besar dalam mendidik hati agar tidak tertipu dengan amal luaran semata-mata.
“Tasawuf menekankan pembetulan niat, keikhlasan, kerendahan hati serta pengawasan terhadap bisikan halus yang merosakkan amal.
“Ilmu fekah ajar cara solat, tapi tasawuf ajar untuk solat dengan hati yang bersih. Ikhlas itu tak ada dalam kitab fekah, tapi ia asas dalam ilmu tasawuf,” ujarnya.
Beliau turut mengibaratkan ilmu syariat sebagai lautan luas yang penuh gelombang, manakala ilmu hakikat atau tasawuf adalah tepian yang menjaga agar kita tidak tenggelam.
“Tanpa penguasaan dalam ilmu tasawuf, seseorang akan mudah terpedaya dengan amalannya sendiri sehingga dia menyangka dirinya telah mencapai kejayaan, padahal dia sedang menuju kebinasaan,” tegasnya.

Akhirnya, beliau mengingatkan agar tidak kita terlalu berkira dalam melakukan kebaikan dan tidak cepat berasa cukup dengan amal yang dilakukan.
Sebaliknya, serahkan urusan penerimaan amal kepada Allah SWT dan teruslah memperbaiki niat serta menjauhi sifat bangga diri.
“Kalau nak buat benda kebaikan, jangan kita berkira-kira, terus saja buat dan serahkan pada Tuhan.
BACA : Raih pahala bantu pembangunan kampus Kolej Islam As Sofa Hulu Langat
“Benda baik takkan Tuhan abaikan. Tapi kalau syaitan yang hias kebaikan tu, akhirnya kita yang akan rugi.
“Maka, berusahalah untuk kita membersihkan hati dengan mempelajari ilmu tasawuf secara istiqamah. Dekati para guru yang mursyid yang mampu membimbing kita dengan tegurannya serta amalan yang bersesuaian bagi mendekatkan diri dan mengenal Allah SWT,” pesannya.
Apa yang pasti, dengan penghayatan ilmu tasawuf yang benar, seseorang bukan sahaja dapat menyucikan hati, bahkan menjadikan setiap amalannya lebih bermakna dan diterima di sisi Ilahi serta mendapat kebahagiaan di negeri abadi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |