Raih pahala bantu pembangunan Kampus Kolej Islam As Sofa Hulu Langat
TERLETAK di atas sebidang tanah berhampiran sungai, projek pembinaan Kampus Kolej Islam As Sofa Hulu Langat semakin rancak dibangunkan.
Yayasan Sofa melalui wakaf orang ramai mempunyai visi dan misi menjadikan kawasan tersebut sebagai lembah penuntut ilmu.
Daripada kawasan yang dilengkapi beberapa buah rumah kayu, kini sudah tersergam dewan pengajian yang sering digunakan dalam pelbagai majlis ilmu dan kebesaran Islam.

Malah, ia turut menjadi saksi kehadiran ulama terkemuka dunia dalam sambutan Maulid Nabi SAW yang berlangsung penuh gemilang tahun ini.
Antaranya ialah Dr. Sayyid Abdul Mun’im ibn Abdul Aziz Al Ghumari, Dr. Sayyid Mus’ab Al Kheir Al Idrisi dari Mesir dan Prof. Dr. Sayyid Abdul Wahhab Al Tazi Al Hasan Al Idrisi dari Boston, Amerika Syarikat.

Menurut Yang Di Pertua Yayasan Sofa, Ustaz Md. Farid Abd. Samad Al Hafiz, kini mereka melangkah setapak lagi untuk membina sebuah bangunan dengan keluasan 15,000 kaki persegi.
“Projek ini melibatkan Fasa Ke-3 pembangunan di sini, selepas kejayaan Fasa 1 dan 2 membabitkan kerja-kerja membaik pulih dan pembinaan dewan.
“Bagi projek pembangunan terbaru ini, ia melibatkan kos bernilai RM3 juta. Ia merupakan usaha Yayasan Sofa dalam meneruskan kesinambungan generasi Al-Quran melalui pembinaan bangunan yang akan menjadi pusat sehenti kepada para penuntut ilmu.

“Ini juga merupakan usaha gigih yang dilakukan institusi As Sofa bagi mencapai visi melahirkan 5,000 penghafal Al-Quran menjelang 2034,” ujar Md. Farid.
Tambah beliau, secara tidak langsung, ia turut memberi manfaat kepada penduduk sekitar Hulu Langat untuk beribadah dan mengikuti pengajian agama melalui penganjuran kuliah dan majlis-majlis kebesaran Islam.
“Rancangan pembinaan Kampus Kolej Islam As Sofa ini bakal dilengkapi dengan surau, pejabat, kelas, pusat penyelidikan dan dewan bagi menawarkan penempatan kepada lebih ramai pelajar sama ada dalam bidang Pengajian Islam, Al-Quran dan Hadis,” jelas beliau lagi.

Projek yang telah mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Selangor itu, diharap memberi kemudahan yang selesa kepada pelajar Kolej Islam As Sofa yang juga tergolong sebagai ahli ilmu dan ahli Al-Quran, pewaris generasi Rasulullah SAW.
“Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Sofa tidak akan dapat bergerak sendirian. Justeru, kami mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menjadi penyangga kepada pembangunan kampus Kolej Islam As Sofa ini,” ujar Md. Farid.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Hadid, ayat 18 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka yang memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.”

Semoga kita tergolong sebagai hamba Allah yang disebut di dalam firman-Nya di atas.
Kolej Islam As-Sofa merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi swasta yang berdaftar di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 bagi menawarkan program-program pengajian di peringkat sijil dan diploma serta diiktiraf MQA.

Orang ramai yang mahu menyumbang, boleh menyalurkan sumbangan mereka melalui akaun CIMB Yayasan Sofa Negeri Sembilan 8601881661.
Penyumbang juga boleh membuat sumbangan melalui bayaran zakat kepada Lembaga Zakat Selangor (Maybank 550511400063) yang layak menerima rebat Cukai Pendapatan di bawah Seksyen 6A(3) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.kolejislam.edu.my atau hubungi talian 011-5449 2031 atau 019-384 2032.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








