Qurban As Sofa 2025: 18 ekor lembu, 44 ekor kambing selamat dikorbankan
HULU LANGAT – Suasana sambutan Aidiladha di Kampus Kolej Islam As Sofa (KIS), Hulu Langat semalam berlangsung meriah apabila Yayasan Sofa menganjurkan ibadah korban secara besar-besaran di perkarangan kampus berkenaan.
Yang di-Pertua Yayasan Sofa, Ustaz Md. Farid Abd. Samad berkata, sebanyak 18 ekor lembu dan 44 ekor kambing dikorbankan dalam program tahunan itu yang mengajak masyarakat menghayati makna sebenar pengorbanan dalam Islam.

“Program bermula seawal jam 8 pagi dengan solat sunat Aidiladha yang diimamkan oleh salah seorang pelajar hafiz As Sofa, diikuti dengan penyampaian khutbah.
“Ia diikuti aktiviti korban yang menyaksikan kehadiran lebih 500 tetamu terdiri daripada peserta korban, ahli keluarga, para penyumbang dan penduduk sekitar,” kata beliau kepada Malaysia Tribune.
Suasana gotong-royong turut menyemarakkan nilai kebersamaan apabila para sukarelawan As Sofa, pelajar dan staf berganding bahu dalam proses melapah, membungkus serta mengagihkan daging korban kepada golongan asnaf dan masyarakat sekitar yang memerlukan.

“Program ini bukan sahaja bertujuan menghidupkan syiar Islam, tetapi juga sebagai medan pendidikan rohani dan praktikal buat para pelajar dalam mendalami hikmah serta fiqh ibadah korban,” jelasnya.
Tambah beliau, selain korban di Hulu Langat, Yayasan Sofa turut mengagihkan haiwan korban di beberapa kawasan.
BACA : Raih pahala bantu pembangunan Kampus Kolej Islam As Sofa Hulu Langat
“Ini termasuklah seekor lembu yang dikorbankan di Pondok Pesantren Syeikh Muhammad Harith Ar Rembawi di Bengkalis, Indonesia,” ujarnya.

Sementara itu, penyelaras program Qurban As Sofa, Ahmad Hamizan Hamid memberitahu, proses sembelihan, melapah serta memasak daging korban dilakukan dalam tempoh tiga jam.
“Alhamdulillah, kerjasama daripada semua pihak membantu melancarkan program ini.
BACA : Kolej Islam As Sofa raikan Israk Mikraj dengan ilmu, amal
“Sebanyak tiga kawah daging dimasak secara bergotong-royong dan dimakan beramai-ramai sekali gus mengeratkan ukhwah,” ujarnya.

Memasuki tahun ke-26 penganjurannya, ibadah korban yang dijalankan itu juga mencerminkan komitmen Yayasan Sofa dalam memelihara tradisi keilmuan dan amal Islami, seiring dengan visi institusi untuk melahirkan generasi rabbani yang seimbang dari segi ilmu dan akhlak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








