Kisah tular Putera Iman dapat perhatian KPT, pelajar yatim piatu terima tajaan penuh Program SULUNG di UUM
KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memberi jaminan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Putera Iman Shah Shahiran, 19, akan ditanggung sepenuhnya yuran pengajian hingga tamat pengajian melalui Program SULUNG.
Menurut beliau, selain pengecualian yuran, pelajar berstatus yatim piatu itu juga akan menerima kemudahan lain termasuk komputer riba serta wang saku bulanan bagi menampung keperluan di kampus.
“Kisah adik Putera benar-benar menyentuh hati. Dalam usianya yang masih muda, beliau telah kehilangan kedua-dua ibu bapa namun tetap berusaha sedaya upaya untuk hadir mendaftar sebagai mahasiswa baharu di UUM.
“Alhamdulillah, dengan maklumat yang kita peroleh, pihak UUM segera menjejaki adik Putera dan membantu beliau dalam segala urusan pendaftaran,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Dr Zambry berkata, beliau sempat mengadakan panggilan video bersama Putera Iman Shah sebelum mesyuarat Kabinet pagi tadi dan menitipkan pesanan agar terus bersemangat serta belajar bersungguh-sungguh demi masa depan.
“Kepada adik Putera, usah bimbang. Insya-Allah, anda mampu berjaya pada masa hadapan. Kepada semua pelajar lain, sekiranya menghadapi kesulitan, rujuklah kepada pihak universiti atau terus kepada KPT. Kita akan permudahkan.

“Yang penting, belajar dengan tekun dan apabila berjaya kelak, kembalilah menyumbang kepada masyarakat serta negara,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Naib Canselor dan pasukan pengurusan UUM atas komitmen tinggi mereka dalam membantu pelajar berkenaan.
Terdahulu, kisah Putera Iman mencuri perhatian ramai apabila gambarnya hadir seorang diri mendaftar sebagai mahasiswa baharu UUM tular di media sosial.
Kesedihan pelajar itu yang kehilangan ibu sejak Tingkatan Satu dan bapanya pula meninggal dunia bulan lalu sedikit terubat apabila beliau disambut mesra kakitangan UUM ketika tiba di Stesen Keretapi Arau, Perlis pada pukul 12.15 tengah hari semalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















