BERITA SEMASA

Tiada kelewatan dalam siasatan kes babit keselamatan murid – Fadhlina

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan tidak akan sesekali melengahkan sebarang siasatan khususnya melibatkan keselamatan murid.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, keselamatan serta kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan KPM dan tidak akan dikompromi dalam apa jua keadaan.

Menurut beliau, setiap insiden yang berlaku di asrama, termasuk kes murid terjatuh dari tingkat tiga baru-baru ini, diberikan perhatian segera dan disiasat secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian serta memperkukuh langkah penambahbaikan.

“Dalam kes ini, laporan segera telah dibuat kepada pihak polis, yang membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 serta menjalankan siasatan ke atas semua pihak yang terbabit.

“KPM juga memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan dijalankan, termasuk menempatkan Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta ketua warden sekolah berkenaan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam, Selangor sehingga siasatan selesai.

“Laporan terkini menyatakan murid berkenaan semakin pulih dan dibenarkan keluar dari hospital serta kini berada di rumah,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau).

Mengenai perkembangan terkini kes pelajar terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah itu, langkah-langkah telah dan akan diambil bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan asrama dipatuhi sepenuhnya di sekolah seluruh negara.

Fadhlina memaklumkan, bagi memastikan kes seperti itu tidak berulang, KPM sudah dan sedang melaksanakan beberapa langkah termasuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan.

“Jawatankuasa ini dianggotai pakar akademik, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakan strategik seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

“Menyertai mereka ialah universiti tempatan bagi menambah baik Program Sekolah Selamat dan sejak 19 Ogos lalu, KPM melaksanakan audit keselamatan di seluruh negara yang meliputi sekolah berasrama penuh, asrama harian dan sekolah harian biasa.

“Sehingga 26 September, 735 sekolah telah diaudit dengan tumpuan kepada pematuhan SOP keselamatan, rekod aduan, jadual tugas warden, pencahayaan malam dan pemasangan CCTV,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button