Kes wanita dikerat: Polis perhebat operasi cari dua lagi anggota badan mangsa
KOTA KINABALU – Pihak polis kini masih giat mengesan dua lagi anggota badan mangsa susulan pembunuhan kejam seorang wanita yang mayatnya dikerat dan dibuang di beberapa lokasi sekitar Taman Indah Permai di Sepanggar, di sini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, mangsa dipercayai ditetak menggunakan parang di sebuah rumah di Manggatal sebelum mayatnya dipotong dan dibuang secara berasingan.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan lokasi pembuangan anggota tubuh itu belum dapat diperincikan kerana suspek kini masih menerima rawatan di hospital dan proses soal siasat lanjut belum dapat dijalankan sepenuhnya.
“Polis masih meneruskan pencarian dua lagi anggota tubuh mangsa selain mengesan parang yang dipercayai digunakan suspek.
“Operasi pencarian dijalankan oleh sepasukan polis termasuk Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di beberapa lokasi yang sudah dikenal pasti,” katanya memetik laporan BH Online.
Semalam, anak mangsa menerusi siaran langsung di TikTok mendakwa walaupun jenazah ibunya sudah dikebumikan, anggota tubuh mangsa masih tidak lengkap.
“Yang belum ditemui ialah kaki kiri dan tangan kanan,” katanya.
Menurut Jauteh, pihak keluarga mangsa boleh berhubung atau berjumpa pegawai penyiasat bagi mendapatkan perkembangan terkini siasatan.
Katanya, siasatan masih diteruskan termasuk menyoal siasat suspek secara lanjut selepas keadaan kesihatannya mengizinkan dan mendapat kebenaran doktor.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau Hotline 019-2182728.
“Maklumat juga boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau terus kepada pegawai penyiasat kes.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







