JENAYAH & MAHKAMAH

Kes pengubahan wang haram: Nasib bekas Pengarah Jabatan Air Sabah diketahui hari ini

KOTA KINABALU – Mahkamah dijangka membuat keputusan hari ini terhadap kes pengubahan wang haram berprofil tinggi membabitkan bekas pegawai kanan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang pernah menggemparkan negara susulan rampasan wang tunai dan barangan mewah bernilai puluhan juta ringgit pada 2016.

Kes berkenaan mendapat perhatian meluas selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan serbuan dan menemui timbunan wang tunai dalam bilik serta bertaburan di lantai, sekali gus mencetuskan antara skandal rasuah terbesar pernah direkodkan di Sabah.

Bekas Pengarah JANS, Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 63, isterinya Fauziah Piut, 61, dan bekas Timbalan Pengarah JANS, Lim Lam Beng, 72, didakwa di mahkamah pada 28 Disember 2016 dan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.

Ag Mohd Tahir berdepan 11 pertuduhan, manakala Fauziah menghadapi 19 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA).

Fauziah turut didakwa bersama suaminya atas dua lagi pertuduhan mengikut akta sama, sementara Ag Mohd Tahir turut dikenakan satu pertuduhan tambahan mengikut Seksyen 4(1)(a) akta berkenaan.

Kesalahan didakwa dilakukan di beberapa lokasi termasuk pejabat jabatan itu di sini, kondominium di Sembulan dan Sulaman, cawangan bank serta sebuah menara di Kuala Lumpur antara Oktober hingga November 2016.

Lim Lam Beng pula menghadapi empat pertuduhan berkaitan pemilikan aset dan wang tunai termasuk sebuah Toyota Land Cruiser serta wang tunai berjumlah lebih RM2 juta yang didakwa hasil aktiviti haram.

Perbicaraan bermula pada 7 Mei 2018 di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat selepas beberapa kali ditangguhkan, dengan pihak pendakwaan memanggil 46 saksi.

Pihak pembelaan pula mengemukakan 15 saksi termasuk bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan bekas menteri negeri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim.

Ag Mohd Tahir serta Fauziah diwakili peguam Ansari Abdullah, Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, Fadzidahtul Ardianah, Rasrina Patrick T Rining dan Noorsyazwani Sapri, manakala Lim Lam Beng diwakili Tan Hock Chuan, Baldev Singh dan Kelvin Wong.

Sementara itu, seorang lagi bekas Timbalan Pengarah JANS, Teo Chee Kong, sebelum ini didakwa atas 146 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM32.923 juta.

Bagaimanapun, beliau dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah pada 17 Mac 2022 sebelum bertukar menjadi saksi pendakwaan dalam kes membabitkan tiga tertuduh terbabit.

Pada Februari tahun sama, Chee Kong diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) terhadap semua pertuduhan sebelum SPRM mengenakan kompaun RM30 juta terhadapnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button