JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Jana Wibawa: Muhyiddin hadir perbicaraan hari ketiga, saksi bank dijangka beri keterangan

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram melibatkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diteruskan di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini dengan pihak pendakwaan dijangka memanggil beberapa lagi saksi.

Prosiding yang memasuki hari ketiga itu bakal menyambung keterangan saksi pendakwaan kedua selain memanggil sekurang-kurangnya tiga lagi saksi termasuk pegawai dari AmBank.

Muhyiddin tiba di perkarangan mahkamah pada pukul 9.38 pagi, memetik laporan Buletin TV3.

Turut hadir memberi sokongan ialah Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama beberapa penyokong.

Semalam, mahkamah mendengar keterangan saksi pendakwaan kedua, pengurus bank Lee Hui Nee, 58, yang memaklumkan bahawa berpuluh-puluh juta ringgit dimasukkan ke dalam akaun CIMB milik BERSATU selepas 1 Disember 2020.

Menurut saksi itu, pihak bank turut mengemukakan Laporan Transaksi Meragukan (STR) kepada Bank Negara Malaysia berikutan transaksi yang melibatkan jumlah wang yang besar.

BACA JUGA:

Kes Jana Wibawa: Muhyiddin hadir perbicaraan hari pertama

Berdasarkan pertuduhan, Muhyiddin yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden BERSATU didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat serta seorang individu bagi pihak parti berkenaan.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri antara Mac 2020 hingga Ogos 2021.

Beliau juga berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM200 juta yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank milik BERSATU antara Februari 2021 hingga Julai 2022.

Kesemua pertuduhan itu berkaitan dengan Projek Jana Wibawa, iaitu program kerajaan yang diperkenalkan ketika pandemik COVID-19 bagi mempercepat pelaksanaan projek pembangunan serta merangsang ekonomi negara.

Perbicaraan kes tersebut dijalankan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button