
Kes Jana Wibawa: Muhyiddin hadir perbicaraan hari pertama
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur (KMKL) hari ini bagi menghadiri hari pertama perbicaraan kes membabitkan tuduhan salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram berkaitan projek Jana Wibawa.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu yang memakai sut kelabu dan berseluar hitam tiba kira-kira jam 8.40 pagi bersama isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dengan menaiki kenderaan Toyota Alphard.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Prosiding perbicaraan dijangka bermula pada jam 9 pagi dengan pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin membacakan pernyataan pembukaan sebelum mahkamah mendengar keterangan saksi pertama.
Muhyiddin diwakili barisan peguam diketuai Tan Sri Hisyam Teh Poh Teik bersama Amer Hamzah Arshad dan K Kumaraendran.
Ahli Parlimen Pagoh itu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya ketika menjadi Perdana Menteri dan Presiden BERSATU untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti berkenaan daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta seorang individu, Datuk Azman Yusoff.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Selain itu, Muhyiddin turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun bank milik BERSATU di AmBank dan CIMB Bank antara Februari 2021 hingga Julai 2022.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















