JENAYAH & MAHKAMAH

Kes letupan IED di Nilai, warga emas dikenakan lima pertuduhan

SEREMBAN – Seorang lelaki warga emas didakwa atas lima pertuduhan membabitkan peranti letupan buatan sendiri (IED), hari ini.

Pertuduhan ke atas Yeoh Hock Sun, bagaimanapun terpaksa dibuat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) kerana dia masih dirawat akibat kecederaan yang dialaminya.

Tertuduh yang berusia 63 tahun membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Terdahulu, Surita, Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni dan beberapa jurubahasa dilihat tiba di pekarangan bangunan wad HTJ kira-kira pukul 9.45 pagi sambil diiringi polis.

Prosiding bermula kira-kira pukul 9.50 pagi, namun terpaksa ditangguhkan selama 20 minit selepas tertuduh secara tiba-tiba mengadu tidak boleh bernafas.

Pakar perubatan yang bertugas kemudiannya memberikan rawatan lanjut sebelum prosiding disambung semula pukul 10.15 pagi selepas tertuduh disahkan berada dalam keadaan stabil.

Mengikut pertuduhan, warga emas berkenaan didakwa melakukan khianat dengan menggunakan bahan letupan yang menyebabkan kerosakan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi L200 Triton milik lelaki berusia 47 tahun.

Kesalahan terbabit dilakukan pada 22 Disember 2025, pukul 5.55 pagi di kawasan pakir Blok A, Pangsapuri Desa Palma di Nilai.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut tiga pertuduhan lagi, dia didakwa dalam milikannya bahan letupan dalam keadaan yang menimbulkan suatu anggapan munasabah yang tertuduh berniat menggunakan bahan terbabit bagi maksud menyebabkan kecederaan.

Bagi kesalahan berkenaan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan disebat, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 4 akta sama iaitu secara salah dan niat jahat menggunakan IED dengan niat jahat untuk mendatangkan kecederaan dan boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan disebat, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan pihak pendakwaan dan mahkamah kemudiannya bersetuju dan menetapkan 12 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button