Kerjasama Maybank–Microsoft: BDS Malaysia gesa campur tangan kerajaan
KUALA LUMPUR – BDS Malaysia menggesa kerajaan campur tangan dan menamatkan kerjasama strategik bernilai RM1 bilion antara Maybank dan Microsoft susulan dakwaan penglibatan syarikat teknologi itu dalam jenayah genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Pertubuhan itu menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas yang dizahirkan Biro Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diketuai Dr Maszlee Malik kelmarin.
“Kami menghargai keberanian dan prinsip yang ditunjukkan Biro Antarabangsa PKR dalam menyatakan bantahan secara terbuka terhadap kerjasama ini walaupun mereka merupakan sebahagian daripada parti dalam kerajaan.
“Langkah ini wajar dipuji kerana meletakkan prinsip kemanusiaan dan solidariti bersama rakyat Palestin mengatasi kepentingan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut BDS Malaysia, Maybank sebagai syarikat milik kerajaan (GLC) tidak seharusnya menjalinkan kerjasama dengan entiti yang terpalit dalam laporan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Asasi Manusia di Palestin bertarikh 30 Jun 2025.
“Microsoft antara syarikat yang dinamakan sebagai meraih keuntungan daripada genosid di Gaza.
“Turut tersenarai ialah Caterpillar, AWS, Fanuc, Google dan BlackRock yang sebahagiannya mempunyai hubungan atau kontrak dengan kerajaan Malaysia,” katanya lagi.
Sehubungan itu, BDS Malaysia turut mengulangi gesaannya dalam kenyataan terdahulu bertarikh 11 Julai agar kerajaan menyemak semula semua perjanjian dengan syarikat yang dinamakan dalam laporan tersebut.
“Kerajaan perlu mempertimbangkan langkah menggantung atau menamatkan hubungan dengan syarikat yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam
penindasan terhadap rakyat Palestin.
“Malaysia tidak boleh sekadar bersolidariti melalui kenyataan, sebaliknya perlu menunjukkan pendirian jelas melalui tindakan,” kata kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








