Kereta Ahli Parlimen Dungun terbakar di LPT2
DUNGUN – Kenderaan dinaiki Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd. Ramli musnah terbakar dalam kejadian di Kilometer 330, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menghala ke Kuala Terengganu, hari ini.
Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Rohaya Jamil berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 12.47 tengah hari sebelum sebuah jentera bersama 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, kebakaran berkenaan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang terbakar hampir keseluruhannya.
“Seorang lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa berada dalam kenderaan tersebut namun kedua-duanya selamat,” katanya lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran hos dari tangki air jentera bomba dan api berjaya dikawal pada pukul 1.17 tengah hari sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.25 tengah hari.
Terdahulu, kejadian berkenaan tular di media sosial selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md. Fauzi memuat naik video kejadian tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








