BERITA SEMASA

Kerajaan teruskan Dana Antarabangsa Belia 2026, lahir pemimpin muda bertaraf global

PUTRAJAYA – Kerajaan meneruskan pelaksanaan Dana Antarabangsa Belia Kementerian Belia dan Sukan (IYF@KBS) bagi tahun 2026 sebagai usaha memperkukuh kepimpinan belia di peringkat antarabangsa.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkata, inisiatif itu selaras dengan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkasa pengantarabangsaan belia berusia antara 18 hingga 30 tahun.

“Dana berkenaan bertujuan menyokong penyertaan belia Malaysia dalam pelbagai platform global termasuk mesyuarat, forum, persidangan dan simposium antarabangsa berkaitan pembangunan belia.

“Penyertaan ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada amalan terbaik dunia, malah membuka ruang kepada belia terlibat secara langsung dalam perbincangan isu global, membina jaringan strategik serta memperkukuh kefahaman antara budaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pelaksanaan IYF@KBS turut selari dengan Dasar Belia Malaysia dan Model Pembangunan Belia Madani, sekali gus membolehkan belia tempatan bersama rakan sebaya dari pelbagai negara memainkan peranan dalam mencorakkan penggubalan dasar serta inisiatif di peringkat serantau dan global.

Bagi tahun 2026, dana itu ditawarkan secara one-off kepada belia warganegara Malaysia dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang aktif dalam persatuan, pertubuhan atau kelab berdaftar.

Setiap permohonan yang diluluskan layak menerima bantuan sehingga RM20,000, meliputi kos yuran penyertaan program, tiket penerbangan kelas ekonomi, elaun makan, insurans, visa dan penginapan, tertakluk kepada kadar ditetapkan.

KBS turut berkata, permohonan akan dibuka dalam empat siri bermula hari ini, 16 Januari 2026, bagi penyertaan program antarabangsa yang berlangsung antara 1 Mac hingga 15 November 2026.

Semua permohonan hendaklah dikemukakan secara dalam talian melalui portal rasmi KBS di www.kbs.gov.my/iyf, lengkap dengan dokumen sokongan yang ditetapkan.

KBS yakin pelaksanaan IYF@KBS 2026 akan terus memperkukuh ekosistem pembangunan belia negara, melahirkan pemimpin muda yang berwibawa serta menyumbang kepada pembinaan Malaysia yang lebih progresif, inklusif dan berdaya saing di persada dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button