Kerajaan MADANI naikkan pemberian khas Sabah kepada RM600 juta
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen berterusan dalam menunaikan tanggungjawab terhadap Sabah, termasuk menaikkan kadar Pemberian Khas Persekutuan kepada negeri itu kepada RM600 juta tahun ini, peningkatan berganda berbanding tahun sebelumnya.
Menurut Anwar, langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan hak Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus dihormati dan dilaksanakan.
“Kerajaan MADANI menghormati proses perundangan dan akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung kajian semula Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah sebelum melaksanakan tindakan lanjut.
“Sebagai kerajaan, kami komited memastikan hak Sabah terpelihara dan segala obligasi Perlembagaan dipenuhi, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963,” katanya dalam sidang khas di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjelaskan bahawa pembayaran penuh Pemberian Khas berjumlah RM600 juta kepada Kerajaan Sabah telah disempurnakan pada 10 September lalu, sementara satu kaedah baharu sedang dirangka bagi menentukan formula pemberian masa hadapan.
Beliau berkata kadar tersebut bersifat interim hasil persetujuan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah selepas beberapa siri kajian semula sejak tahun 2022.
“Mulai 2019, kadar pemberian khas telah meningkat daripada RM26.7 juta kepada RM53.4 juta, kemudian RM125.6 juta pada 2022, RM300 juta pada 2023 dan kini RM600 juta bagi tahun 2025,” jelasnya.
Selain pemberian khas, Anwar turut memaklumkan bahawa perbelanjaan keseluruhan Kerajaan Persekutuan untuk Sabah meningkat kepada RM17 bilion bagi tahun 2025 dan 2026, berbanding RM13 bilion pada 2022.
Selain itu katanya, Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah pada 2021 turut membolehkan kontraktor minyak dan gas tempatan memperoleh projek bernilai RM2 bilion pada tahun lalu.
“Kerajaan juga membenarkan Sabah mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum yang telah menjana hasil tambahan kira-kira RM2 bilion sejak 2022,” katanya.
Menurut Anwar, dalam perkembangan terkini, kuasa kawal selia terhadap Sabah Electricity Sdn Bhd kini telah diserahkan sepenuhnya kepada Kerajaan Sabah.
“Walaupun kawal selia diserahkan, Kerajaan Persekutuan tetap menyediakan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion bagi menjamin kelangsungan bekalan elektrik di Sabah,” tegasnya.
Selain itu tambahnya, kerajaan turut mengiktiraf Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Bekalan Air Sabah sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182.
“Selain pengiktirafan, kami juga menyerahkan kuasa meluluskan perolehan Projek Persekutuan sehingga RM50 juta kepada Jabatan Teknik Sabah, sekali gus memperkukuh keupayaan negeri mengurus projek sendiri.
“Di samping itu, pindaan terhadap Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (1995) Akta 53 membolehkan wakil Kerajaan Sabah dan Sarawak dilantik sebagai Anggota Tetap LHDN,” katanya.
Perdana Menteri menekankan, langkah itu bertujuan mengukuhkan penglibatan Sabah dan Sarawak dalam urusan fiskal negara serta memastikan suara negeri didengar dalam proses membuat keputusan.
“Semua langkah ini adalah bukti nyata komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan hak dan kepentingan Sabah sentiasa terpelihara, selaras dengan semangat MA63,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








