PENDAPATRENCANA

Kemalangan lori semakin meningkat: Tanggungjawab siapa?

Oleh MUHAMMAD DANIAL MUSTAPHA

SEJAK kebelakangan ini, kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan berat seperti lori semakin kerap berlaku sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Hampir setiap minggu, ada sahaja laporan yang tular di media sosial berkaitan insiden membabitkan lori sama ada treler, kontena atau lori muatan berat yang menyebabkan kesesakan lalu lintas, kerosakan harta benda malah kehilangan nyawa.

Menurut laporan beberapa portal berita, kes kemalangan yang melibatkan lori menunjukkan peningkatan ketara sejak akhir-akhir ini.

kemalangan fru
Situasi lokasi kemalangan sebuah trak FRU dengan lori membawa muatan batu di Teluk Intan, Perak. 

Statistik kemalangan membabitkan lori kontena, treler dan lori kecil didapati antara yang tertinggi.

Antara faktor utama dikenal pasti ialah kecuaian pemandu khususnya mereka yang memandu di bawah pengaruh bahan terlarang atau alkohol.

Contoh paling mengejutkan berlaku baru-baru ini di Teluk Intan, Perak apabila sebuah lori bertembung dengan jentera polis FRU dan mengorbankan sembilan nyawa.

Pemandu lori terbabit disahkan berada di bawah pengaruh dadah serta mempunyai rekod jenayah lampau.

Kejadian sebegini bukan sahaja menyayat hati, malah menunjukkan bahawa masalah keselamatan jalan raya melibatkan lori kini berada pada tahap yang membimbangkan.

Musim perayaan turut menyaksikan peningkatan kes kemalangan khususnya di lebuh raya menuju ke Pantai Timur seperti Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Kemalangan sering berlaku apabila lori membawa muatan berlebihan menyebabkan ia hilang kawalan lalu bertembung dengan kenderaan lain.

Masyarakat mula melabelkan segelintir pemandu lori sebagai ‘pilot darat’ yang mementingkan masa dan jadual penghantaran tanpa menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

pemandu lori
Pemandu lori (tengah) yang terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan sembilan anggota FRU. 

Susulan peningkatan kes kemalangan ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam satu sidang media memaklumkan bahawa satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk menyiasat punca sebenar kemalangan dan merangka langkah pencegahan jangka panjang.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) turut diarahkan untuk menjalankan siasatan terperinci terhadap kes kemalangan lori yang berlaku.

Menurut beliau, syarikat-syarikat lori yang terlibat dalam kemalangan akan diaudit oleh JPJ menerusi Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA).

Ini bagi memastikan sama ada kecuaian berlaku pada tahap pemandu atau berpunca daripada kegagalan penyeliaan dan penyelenggaraan oleh syarikat pengendali.

Kementerian turut menekankan keperluan pemeriksaan berkala di PUSPAKOM sebagai syarat wajib bagi semua kenderaan berat.

Pemeriksaan harian seperti keadaan bunga tayar, lampu isyarat dan sistem brek hidraulik sebelum memulakan perjalanan perlu dijadikan amalan standard.

Ia bertujuan menjamin keselamatan pemandu sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.

Teknologi pemantauan sebagai solusi

Bagi menambah baik pemantauan ke atas pemandu lori, antara inisiatif yang dicadangkan ialah pemasangan sistem kamera kawalan jarak jauh dalam kabin lori.

Teknologi ini dapat membantu memantau kelakuan pemandu termasuk kelajuan dan cara pemanduan.

Ia juga bertujuan mencegah pelanggaran had laju dan memastikan pemandu kekal berwaspada sepanjang perjalanan.

Penggunaan teknologi ini perlu diwajibkan oleh Kementerian Pengangkutan dan dipatuhi oleh semua syarikat logistik.

Melalui sistem ini, pemilik syarikat dapat memantau aktiviti pemandu secara langsung serta mengambil tindakan awal sekiranya berlaku sebarang pelanggaran SOP.

Secara tidak langsung, sistem ini mampu mengurangkan risiko kemalangan dan membantu melancarkan aliran trafik khususnya di lebuh raya utama.

Kerajaan dan agensi berkaitan perlu memperketatkan penguatkuasaan dan menambah baik aspek pendidikan serta latihan kepada pemandu lori bagi mengelakkan kejadian tidak diingini terus berlaku.

Jelas sekali, isu kemalangan lori bukan perkara remeh dan memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.

Kementerian Pengangkutan, JPJ, APAD dan PUSPAKOM perlu terus berganding bahu memperketat penguatkuasaan selain menambah baik aspek pendidikan dan latihan kepada pemandu lori.

Kerjasama antara kerajaan, agensi penguatkuasaan, syarikat pengangkutan dan pemandu sendiri sangat penting untuk melahirkan budaya pemanduan berhemah dan bertanggungjawab.

Langkah-langkah seperti audit keselamatan, pemeriksaan teknikal berkala dan penggunaan teknologi pemantauan moden perlu dilaksanakan secara menyeluruh.

Dengan usaha yang konsisten dan dasar yang tegas, diharapkan kadar kemalangan yang melibatkan lori dapat dikurangkan.

Keselamatan jalan raya adalah hak dan tanggungjawab bersama demi kesejahteraan semua rakyat Malaysia.

* Penulis merupakan Pelajar Pengurusan dengan Pelancongan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

MOHD DANIAL MUSTAPHA

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button