Kelibat Jaslinda dikesan kamera pengawasan hidupan liar
TAPAH – Penelitian kad memori kamera pengawasan di sekitar lokasi laluan pendakian Gunung Batu Putih berjaya mengesan pergerakan Jaslinda Saludin, 49, yang hilang sejak seminggu lalu.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon, Jaslinda didapati melintasi kamera 1 sekitar pukul 11.22 pagi 24 Mei lalu iaitu hari pertama kehilangannya, dengan tiada rakaman menunjukkan wanita itu berpatah balik melintasi kamera berkenaan.
Sayani berkata, kamera sama turut merakam imej lapan anggota Pasukan Khas, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan seorang Malim Gunung Perhutanan (MGP) melintasi kamera berkenaan pada pukul 5.15 petang keesokan harinya.
Justeru, rakaman itu dapat menyokong hujah bahawa mangsa sememangnya bergerak mengikut laluan ke Kem Sukaneka seperti mana penemuan jejak tapak kasut dan botol air sebelum ini, lapor HM Online.
“Terdapat lagi dua simpang jalan selepas kamera 1 iaitu laluan ke Kem Sukaneka, laluan ke ‘water point’ (titik sumber air). Bagaimanapun laluan ke ‘water point’ sudah dihalang dengan laluan kayu bagi menandakan ianya bukan trek laluan.
“Justeru, rakaman kamera 1 dapat menyokong hujah bahawa mangsa memang bergerak mengikut laluan ke Kem Sukaneka seperti mana penemuan jejak tapak kasut dan botol air yang ditemui oleh pasukan penyelamat dari awal pencarian bermula,” katanya dalam satu kenyataan, petang tadi.
Kata Sayani, penelitian pada rakaman di kamera 2 iaitu laluan menuju ke Gunung Batu Bujang bagaimanapun mendapati tiada sebarang rakaman imej mangsa mahupun pasukan penyelamat melintasi kamera itu pada tarikh antara 24 Mei dan 25 Mei (Ahad dan Isnin).
Menurutnya, justeru laluan berkenaan iaitu menuju Gunung Batu Bujang disahkan tidak dilalui oleh Jaslinda.
Beliau berkata, dua anggota dari pasukan Pelindung, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bersama dua pegawai Jabatan Perhutanan dibawa menaiki pesawat AW139 ke Puncak Gunung Batu Putih untuk mengambil kad memori kamera pengawasan hidupan liar.
Dua cip dari dua unit kamera pengawasan itu berjaya diambil pukul 10.15 pagi tadi dengan pasukan Pelindung PERHILITAN kembali dibawa pulang menaiki pesawat sama pukul 1.15 tengah hari.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








