BERITA SEMASA

Kanak-kanak autistik hilang ditemukan meninggal dunia dalam parit

IPOH – Seorang kanak-kanak lelaki autistik berusia enam tahun yang dilaporkan hilang sejak petang semalam ditemukan meninggal dunia dalam parit di kawasan kelapa sawit di Kampung Baru dekat Sungai Sumun, Hutan Melintang, malam tadi.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima maklumat daripada polis mengenai kehilangan kanak-kanak itu pukul 6.24 petang sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang dihantar ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, ketua operasi dimaklumkan bapa mangsa menyedari kehilangan anaknya apabila mendapati kanak-kanak itu tiada di dalam rumah dan pintu hadapan rumah dalam keadaan terbuka.

“Usaha pencarian awal dilakukan bapa mangsa di sekitar rumah serta kawasan kebun kelapa sawit berhampiran namun gagal menemui mangsa.

“Laporan polis mengenai kehilangan kanak-kanak itu dibuat pukul 3.30 petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sabarodzi berkata, mangsa kemudiannya ditemukan oleh orang awam di dalam parit di kawasan kebun kelapa sawit pukul 10.08 malam tadi ketika operasi mencari dan menyelamat dilakukan.

Beliau berkata mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira 11 malam.

Sementara itu, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bagan Datuk memaklumkan mangsa adalah orang kelainan upaya (OKU) autisme.

Kenyataan itu berkata, mangsa ditemukan oleh orang kampung kira-kira 330 meter dari rumah kanak-kanak itu dan disahkan meninggal dunia oleh pihak forensik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button