BERITA SEMASA

Bilal muda meninggal dunia sejurus laung azan Maghrib, pemergian undang sebak ahli kariah

KUALA LUMPUR – Seorang bilal muda, Ahmad Haziq Jailani, 32, dilaporkan meninggal dunia sejurus selesai melaungkan azan Maghrib di Masjid Al-Firdaus, Bandar Baru Selayang, semalam.

Pemergian Allahyarham yang juga Bilal 2 masjid berkenaan mengundang rasa hiba dalam kalangan ahli kariah, rakan-rakan serta masyarakat setempat yang mengenalinya sebagai seorang yang aktif dalam kerja-kerja dakwah, kebajikan dan kemasyarakatan.

Berita kematiannya mula tular di media sosial sejak pagi tadi dengan ramai pengguna berkongsi kenangan serta menitipkan doa buat Allahyarham.

Berdasarkan perkongsian yang tular, Allahyarham dipercayai rebah selepas selesai melaungkan azan Maghrib sebelum disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Pengurusan Masjid Al-Firdaus turut mengesahkan berita pemergian Allahyarham menerusi satu hantaran rasmi di media sosial.

Dilahirkan pada 8 Julai 1993, Ahmad Haziq dikenali sebagai individu yang istiqamah mengimarahkan masjid serta aktif menggerakkan pelbagai program belia dan kebajikan di kawasan setempat.

Seorang kenalannya, MN Afzan Ab Wahab berkata, Allahyarham merupakan insan yang sentiasa mengingatkan orang lain kepada Allah sepanjang kehidupannya.

“Allahyarham dijemput Ilahi sejurus selesai melaungkan azan. Beliau mengakhiri hayat ketika melaksanakan ibadah yang mulia iaitu menyeru manusia kepada solat, mengagungkan nama Allah dan mengajak manusia menuju kejayaan.

“Ketika hidup, beliau sentiasa mengingatkan kita kepada Allah. Bahkan selepas pemergiannya, beliau masih memberi peringatan kepada kita tentang singkatnya kehidupan dunia dan pentingnya persiapan menuju akhirat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, seorang lagi kenalan, Zaidy Abdul Talib menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar buat komuniti dan jemaah masjid.

“Masih terbayang senyuman, semangat dan kesungguhannya dalam setiap gerak kerja jemaah. Allahyarham bukan sahaja istiqamah berkhidmat sebagai bilal, malah sangat aktif dalam program pemuda dan sentiasa hadir membantu pelbagai urusan masjid.

“Pemergiannya pada usia muda memberi kesan mendalam kepada sahabat-sahabat seperjuangan. Kami kehilangan seorang anak muda yang mengabdikan sebahagian besar hidupnya untuk agama, masjid dan masyarakat,” katanya.

Jenazah Allahyarham dijadualkan diuruskan di Masjid Al-Firdaus Bandar Baru Selayang hari ini dengan solat jenazah dilaksanakan pada pukul 10 pagi.

Ruangan media sosial turut dibanjiri ucapan takziah dan doa daripada orang ramai yang berharap Allahyarham ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beroleh rahmat serta keampunan.

“Perginya selepas menyeru manusia kepada Allah. Semoga Allah menerima segala amal solehnya dan menempatkannya dalam kalangan orang yang diredai,” tulis seorang pengguna media sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button