Kamal Adli pasrah jika sudah tiada jodoh
KUALA LUMPUR – Prosiding hakam melibatkan rumah tangga pelakon Kamal Adli dan isterinya, Uqasha Senrose kini memasuki fasa penentuan apabila kedua-dua pihak hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini bagi meneruskan proses penyelesaian konflik perkahwinan mereka.
Pemilik nama Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, itu mengakui pasrah dan redha menanti keputusan mahkamah selepas pelbagai usaha dilakukan untuk mempertahankan perkahwinan tersebut sejak awal.
“Saya tak tahu nak cakap apa. Prosiding ini dah di hujung-hujung. Kalau memang tiada jodoh, Allahualam.
“Saya sudah cuba pertahankan dari awal lagi. Sekarang cuma tunggu keputusan. Saya pun tak tahu nak cakap apa,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Pelakon filem Kembar Siang itu tiba di pekarangan mahkamah sekitar pukul 9.30 pagi ditemani peguamnya, Abdul Hadi Mohamad Salleh bagi prosiding hakam islah membabitkan kedua-dua belah pihak.
Sementara itu, Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 34, hadir secara berasingan dan enggan mengulas panjang mengenai prosiding tersebut.
“Doakan perkara baik-baik,” katanya ringkas.
Peguam mewakili Uqasha, Muhammad Syazmee Sapian memaklumkan, prosiding hari ini melibatkan peringkat kedua proses hakam keluarga sebelum mahkamah membuat penentuan seterusnya.
“Hari ini masuk peringkat kedua hakam keluarga.
“Akan berlaku lantikan hakam daripada kedua-dua pihak dan selepas itu mahkamah akan menentukan sama ada diteruskan dengan prosiding timbang tara hakam atau sebaliknya,” jelasnya.
Terdahulu, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada Oktober tahun lalu atas alasan tiada persefahaman serta pergolakan rumah tangga yang berterusan.
Untuk rekod, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, kini berusia setahun lapan bulan.
Pada 18 Disember lalu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan mengesahkan kegagalan Jawatankuasa Pendamai mencapai kata sepakat serta mensabitkan kewujudan shiqaq dalam rumah tangga pasangan selebriti berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








