BERITA SEMASA

Justin Bieber sertai barisan bintang buat persembahan separuh masa final Piala Dunia 2026

NEW YORK – Penyanyi sensasi, Justin Bieber sah akan menyertai persembahan separuh masa pada aksi akhir Piala Dunia FIFA 2026 yang julung kali diadakan bersama barisan artis terkenal dunia termasuk Madonna, Shakira dan BTS.

Menurut pengumuman FIFA, persembahan selama 11 minit itu akan berlangsung ketika aksi akhir pada 19 Julai di stadium berhampiran New York.

Konsep persembahan berinspirasikan pertunjukan separuh masa Super Bowl dan diarahkan oleh vokalis Coldplay, Chris Martin.

Turut membuat persembahan ialah bintang Afrobeats Burna Boy, konduktor Venezuela Gustavo Dudamel serta koir pelajar sekolah rendah PS22 Chorus dari Staten Island, yang akan bergandingan dengan Coldplay.

Persembahan berkenaan bertujuan menyokong FIFA Global Citizen Education Fund yang menyasarkan kutipan sebanyak AS$100 juta (RM407 juta) bagi membantu memperluaskan akses kanak-kanak kepada pendidikan dan bola sepak di seluruh dunia.

Dalam satu kenyataan, Bieber berkata beliau berbangga menjadi sebahagian daripada persembahan bersejarah itu, lebih-lebih lagi kerana inisiatif tersebut membantu meningkatkan peluang pendidikan untuk kanak-kanak di seluruh dunia.
Penyertaan Burna Boy turut mencuri perhatian kerana beliau merupakan antara penyanyi lagu rasmi Piala Dunia 2026 berjudul “Dai Dai”, yang dinyanyikan bersama Shakira.

Lagu itu menggabungkan elemen Afrobeats dan rentak Latin serta meraikan kepelbagaian budaya dan negara yang bertanding dalam kejohanan tersebut.

Selain persembahan artis muzik, acara separuh masa itu turut menampilkan beberapa watak daripada Sesame Street, termasuk Kermit the Frog dan Miss Piggy.

Persembahan separuh masa ketika acara akhir Piala Dunia merupakan yang pertama seumpamanya dalam sejarah kejohanan itu, sekali gus membawa dimensi baharu kepada acara kemuncak bola sepak dunia yang sebelum ini lebih sinonim dengan persembahan pra-perlawanan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button