MPKB-BRI kompaun RM25,000 pemilik restoran anjur program hiburan tanpa lesen
KOTA BHARU – Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengeluarkan notis kesalahan berserta tawaran kompaun berjumlah RM25,000 kepada pemilik sebuah premis perniagaan di tepi Sungai Kelantan susulan penganjuran program hiburan tanpa lesen yang tular di media sosial.
Tindakan itu diambil selepas restoran berkenaan didapati menganjurkan program hiburan bertemakan disko retro serta hippie era 1960-an, 1970-an dan 1980-an pada 3 Julai lalu sebelum rakaman acara tersebut menjadi perhatian orang ramai sejak kelmarin.
Menurut kenyataan MPKB-BRI, notis itu diserahkan semalam dalam satu pertemuan yang dihadiri pegawai Jabatan Pelesenan dan Bahagian Penguatkuasaan MPKB-BRI bersama pemilik premis serta penganjur bagi mendapatkan penjelasan berhubung penganjuran program berkenaan.
Katanya, sekiranya kompaun gagal dijelaskan dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh notis dikeluarkan, tindakan pendakwaan akan dimulakan di mahkamah.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu.
MPKB-BRI memaklumkan, siasatan dijalankan bagi mengenal pasti kesalahan yang dilakukan oleh pihak penganjur mengikut Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025.
Selain kompaun berkaitan penganjuran hiburan tanpa lesen, beberapa kompaun lain turut dikenakan terhadap pemilik premis kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah mengikut Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKB-BRI) 2019.
“MPKB-BRI akan terus memperkukuh penguatkuasaan terhadap mana-mana individu atau pihak yang melanggar peruntukan undang-undang serta syarat pelesenan bagi memastikan semua aktiviti hiburan dan perniagaan dijalankan mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan sebuah restoran popular di tepi Sungai Kelantan menganjurkan program hiburan bertemakan disko retro dan hippie yang dipercayai melibatkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita sebelum rakaman program itu tular di media sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah dilaporkan berkata, program berkenaan dianjurkan tanpa lesen hiburan yang sah dan pihak penganjur boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















