Sin Chew, Sinar Harian dikompaun RM100,000 oleh MCMC
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenakan kompaun masing-masing sebanyak RM100,000 terhadap Sin Chew Media Corporation Berhad dan Sinar Karangkraf Sdn. Bhd. susulan kesalahan memaparkan Jalur Gemilang tidak lengkap serta menyiarkan maklumat tidak benar mengenai Ketua Polis Negara.
Menurut MCMC, tindakan terhadap Sin Chew Media Corporation Berhad diambil selepas siasatan mendapati akhbar digital milik organisasi itu telah memuat naik ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan tidak sempurna.
Sementara itu, Sinar Karangkraf Sdn. Bhd. dikenakan kompaun kerana memuat naik profil di akaun Instagram rasmi yang mengandungi maklumat tidak benar mengenai Ketua Polis Negara, termasuk dakwaan berkaitan jawatan kepimpinan tertinggi sebuah parti politik tempatan.
Kedua-dua siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang membawa hukuman seperti diperuntukkan di bawah subseksyen 233(2), manakala tindakan kompaun dibuat di bawah Seksyen 243 akta sama.
MCMC dalam kenyataannya menegaskan bahawa Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan, perpaduan dan maruah negara yang wajib dipaparkan dengan tepat serta penuh hemah pada setiap masa.
“Penyebaran kandungan palsu yang melibatkan institusi keselamatan negara boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keyakinan masyarakat terhadap pihak berkuasa,” katanya.
Sehubungan itu, MCMC mengingatkan semua organisasi media dan pengguna media sosial supaya memastikan ketepatan serta kesahihan kandungan yang diterbitkan terutama apabila membabitkan lambang dan simbol rasmi negara.
Suruhanjaya itu turut memberi jaminan akan terus memperkukuh penguatkuasaan serta melaksanakan pelbagai inisiatif literasi digital bagi memastikan keharmonian dan kestabilan negara terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







