BERITA SEMASADALAM NEGERI

Isu Jalur Gemilang: Masyarakat Cina perlu peka, hentikan kesilapan berulang

KUALA LUMPUR – Insiden melibatkan paparan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit seperti yang disiarkan oleh akhbar Sin Chew Daily kelmarin tidak wajar berlaku walau apa pun alasan yang diberikan.

Peringatan itu dinyatakan pakar etnolinguistik perpaduan dan integrasi nasional, Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong dari Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia yang mahu simbol negara itu dihormati oleh masyarakat pelbagai kaum.

Prof Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong

Bagaimanapun menurut beliau, isu yang berlaku dalam dua kes melibatkan Sin Chew Daily dan Kwong Wah Yit Poh tidak boleh disamakan kerana berbeza dari segi konteks dan teknikal.

“Dalam kes Sin Chew Daily, jelas kelihatan bendera Malaysia yang disiarkan langsung tidak mengandungi anak bulan. Ia suatu kesilapan nyata.

“Walaupun mereka telah membetulkannya tapi perkara ini tetap serius,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Sebaliknya, dalam kes Kwong Wah Yit Poh, beliau menjelaskan bahawa bendera Malaysia sebenarnya lengkap dengan anak bulan, namun ia ditutup secara tidak sengaja oleh tajuk berita dalam versi bercetak.

“Kalau dilihat pada paparan digital seperti di Bukit Bintang, anak bulan itu memang ada.

“Cuma, satu lagi masalah yang boleh dipersoalkan ialah bintang yang diletakkan dalam paparan itu hanya memiliki 13 bucu berbanding yang sepatutnya 14 bucu yang mewakili 13 negeri dan 1 Wilayah Persekutuan,” jelasnya sambil menyifatkan insiden tersebut lebih kepada kesilapan teknikal kerana bendera itu dibesarkan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa insiden berkaitan penghinaan atau penyalahgunaan bendera negara bukanlah perkara baharu dan lazimnya ia melibatkan kelompok masyarakat Cina.

“Saya kira mereka tidak belajar daripada insiden yang berlaku sebelum ini.

“Lihat saja pada kes bendera terbalik di kilang China atau pertandingan bola keranjang pada 2019 di mana bendera yang dipaparkan hanya mempunyai bintang lima bucu berbanding 14 bucu.

“Kes-kes ini menyakitkan hati rakyat Malaysia terutama masyarakat Melayu dan umat Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Kok Seong turut menegaskan pentingnya pemimpin masyarakat Cina, sama ada dari bidang politik, budaya mahupun perniagaan memainkan peranan menasihati komuniti mereka agar lebih peka terhadap isu sensitif berkaitan simbol negara.

“Setiap kali perkara seperti ini berlaku, mereka hanya berdiam diri. Permohonan maaf pun seperti tidak bermakna lagi kepada masyarakat Melayu.

“Ini menimbulkan persoalan sama ada ia satu penghinaan yang disengajakan terhadap Islam atau tidak,” ujarnya lagi.

Beliau turut menggesa pihak polis agar menyiasat pemilik paparan digital Fahrenheit 88 yang menyiarkan bendera cacat sehingga mengundang spekulasi.

“Apa yang penting sekarang ialah tindakan tegas perlu diambil. Akhbar sebesar Sin Chew Daily yang sudah wujud sejak tahun 1929 sepatutnya menunjukkan tahap profesionalisme tinggi dan tidak melakukan kesilapan sebegini.

“Begitu juga akhbar Kwong Wah Yit Poh. Sepatutnya kesilapan begini tidak seharusnya berlaku,” tegasnya lagi.

Jelas beliau, sekiranya masyarakat Cina benar-benar ikhlas ingin hidup bersama dalam negara majmuk ini, mereka harus mengambil iktibar secara serius daripada setiap insiden yang berlaku dan menghentikan kesilapan yang boleh meretakkan perpaduan, mencetuskan perbalahan dan menggugat keharmonian negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button