
Jenazah Nadia Kesuma dikebumi di Jeddah
GEORGE TOWN – Jenazah pelakon, Nadia Kesuma yang dilaporkan meninggal dunia akibat sakit jantung di Jeddah, Arab Saudi akan dikebumikan di negara itu.
Perkara itu disahkan suami Allahyarhamah, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah kepada rakan perniagaannya iaitu Jasmin Hajar, 50.
“Kak Nadia sudah meninggal dunia. Suaminya beritahu mengenai perkara itu tadi selepas dia dimaklumkan oleh pihak Wisma Putra.

“Katanya, jenazah Kak Nadia akan dikebumikan di sana (Jeddah). Dia memang selalu menginginkan untuk ke sana,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Dalam pada itu, Jasmin Hajar memberitahu, suami Allahyarhamah Nadia Kesuma akan bertolak ke Jeddah bersama anak perempuannya pagi ini.
“Mereka akan bertolak ke Jeddah pada pagi ini dan jenazah kini berada di Hospital King Fahad,” katanya lagi.
Terdahulu, Muhammad Kamarul berkongsi berita sedih itu melalui hantaran di Facebook.
Beliau menyifatkan Allahyarhamah Nadia Kesuma sebagai seorang isteri yang setia, penyayang, ikhlas dan penuh tanggungjawab sepanjang perkahwinan mereka yang dikurniakan tiga cahaya mata, selain memanjatkan doa buat arwah.
“Ya Allah, daripada-Mu kami datang dan kepada-Mu kami akan kembali. Dia seorang isteri yang berbakti, penyayang, ikhlas dan setia.
“Ya Allah, Engkau telah menjanjikan syurga bagi mereka yang taat kepada suami mereka dan mereka boleh memasuki syurga dari mana-mana pintu yang mereka suka. Semoga Engkau menunaikan janji-Mu,” doa Muhammad Kamarul.
Sebelum ini, media melaporkan Nadia Kesuma hilang selepas gagal dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah pada Khamis lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








