Jenazah Isma Aliff selamat dikebumi di Ukay Perdana tanpa kehadiran isteri, anak-anak
AMPANG – Jenazah pelakon, pengacara dan pelawak era 1980-an, Allahyarham Isma Aliff selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, di sini pada pukul 6.20 petang tadi dengan kehadiran kira-kira 50 ahli keluarga, rakan seni dan kenalan terdekat.
Pengebumian arwah Isma atau nama sebenarnya Muhammad Latiff Ismail itu berjalan lancar selepas jenazah diuruskan serta disolatkan di Masjid Jamiul Huda sejurus selesai solat Asar.
Bagaimanapun, ketidakhadiran isteri dan dua anak Allahyarham pada majlis pengebumian itu menjadi perhatian apabila disahkan oleh adiknya, Shamsidah Ismail, 60.

Menurut Shamsidah, beliau menerima hakikat ketiadaan ahli keluarga terdekat Allahyarham itu dan menegaskan kenyataannya dibuat berdasarkan kebenaran, bukan untuk menimbulkan sebarang isu.
“Saya sebenarnya tidak mahu memanjangkan perkara ini. Saya cuma bercakap tentang kebenaran.
“Hari ini memang tiada sesiapa yang paling dekat dengan arwah, terutama dua anaknya hadir. Itu sahaja yang saya boleh cakap,” katanya memetik laporan Metro Online.
Beliau berkata, Allahyarham juga tidak pernah menceritakan sebarang masalah yang dihadapi bersama keluarganya sepanjang hayat.
“Tak ada pula. Cuma arwah selalu kata, doakan yang baik-baik untuk mereka sahaja. Sebagai seorang bapa, memang dia mengharapkan anak-anaknya datang melawatnya semasa hayatnya masih ada.
“Insya-Allah, mungkin selepas ini mereka akan datang menziarahi kuburnya. Kita doakan yang terbaik,” katanya.

Allahyarham Isma menghembuskan nafas terakhir pada usia 61 tahun di rumahnya di Kampung Melayu Ampang sekitar pukul 8.30 pagi tadi.
Sebelum ini, Allahyarham dilaporkan pernah mengalami jangkitan pada jantung dan paru-paru selain diserang angin ahmar pada 2023.
Allahyarham Isma mencipta nama dalam industri seni menerusi filem Mawar Merah dan Marah-Marah Sayang yang ditayangkan pada 1982.
Selain itu, Allahyarham turut dikenali melalui filem Kembar Siam, bergandingan bersama Allahyarham Mohd Yusof Abdul Hamid (Mr Os) dan pelakon terkenal Ziela Jalil.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








