BERITA SEMASA

Jenazah Dr Ainul Baraah selamat tiba di Pengkalan Chepa

KOTA BHARU – Jenazah Dr Ainul Baraah Kamaruddin selamat tiba di Masjid Al Karomah Mukim Baung Besar, Pengkalan Chepa, di sini pada pukul 11.50 pagi tadi untuk disolatkan sebelum dikebumikan selepas solat Zuhur.

Terdahulu, jenazah tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) pada pukul 11.21 pagi selepas diterbangkan dari Miri, Sarawak menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada pukul 8.30 pagi.

Penerbangan berkenaan dilakukan selepas urusan bedah siasat dan pengurusan jenazah di Jabatan Forensik Hospital Miri selesai.

Turut mengiringi jenazah ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Azman Yacob dan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Kasuadi Hussin.

Jenazah Dr Ainul Baraah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper, di sini, memetik laporan Buletin TV3.

Dr Ainul Baraah merupakan antara lima individu yang maut dalam nahas helikopter BO-105 kendalian Layang-Layang Aerospace berhampiran hujung landasan STOLport Long Lellang, Miri, Sarawak, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu, helikopter berkenaan terhempas mengorbankan kesemua lima individu di dalamnya.

Selain Dr Ainul Baraah, mangsa lain ialah juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Jessie Paya Jok, 44, dan Debra Moset, 40.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button