BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen serbu sarang pelacuran warga asing bersembunyi di sebalik rumah kedai

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sebuah sarang pelacuran warga asing yang beroperasi secara tersembunyi di dalam sebuah rumah kedai tiga tingkat di Klang Sentral, Selangor dalam serbuan malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi penguatkuasaan yang dijalankan pada pukul 10.25 malam itu dilakukan hasil aduan awam serta risikan selama dua minggu oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Menurutnya, seramai 14 pegawai pelbagai pangkat terlibat dalam serbuan tersebut.

“Dalam operasi itu, seramai 21 individu diperiksa membabitkan sembilan lelaki dan sembilan wanita warga asing serta seorang lelaki tempatan bersama dua kanak-kanak lelaki.

“Hasil pemeriksaan mendapati lapan lelaki Bangladesh dan sembilan wanita Vietnam berusia antara 21 hingga 32 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tinggal lebih masa dan tiada dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala seorang pelanggan turut dikenakan saman saksi (Borang 29).

Tambah beliau, siasatan mendapati sindiket tersebut berselindung di sebalik syarikat pengurusan hartanah dan import eksport seperti dipaparkan pada papan tanda bangunan bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Sarang pelacuran ini diuruskan oleh seorang lelaki warganegara Bangladesh yang bertindak sebagai ‘Kapten’ atau penjaga premis.

“Dia dipercayai diupah menjalankan kegiatan tidak bermoral itu oleh seorang lelaki tempatan dikenali sebagai ‘Kevin’.

“Seorang pelanggan warga asing mengakui membayar antara RM50 hingga RM80 kepada ‘Kapten’ bagi setiap layanan seks manakala setiap wanita dianggarkan memperoleh sehingga RM400 hingga RM600 sehari bergantung jumlah pelanggan,” jelasnya lagi.

Semasa penggeledahan, JIM turut menemui kondom dan gel pelincir pelbagai jenama di setiap bilik yang digunakan wanita terbabit.

Kesemua warga asing tersebut kini ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya bagi tindakan lanjut.

Zakaria menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan yang membabitkan pendatang tanpa izin serta penyalahgunaan pas.

“JIM tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini.

“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button