Jangan samakan Malaysia dengan Palestin – Syahredzan
KUALA LUMPUR – Kenyataan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary yang memberi gambaran seolah-olah situasi di Malaysia menyerupai nasib rakyat Palestin disifatkan sebagai keterlaluan dan tidak wajar.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, kenyataan pemimpin PAS itu bukan sahaja berbaur perkauman, malah boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Menurutnya, Ahmad Marzuk dalam hantaran di Facebook bertajuk “Belajar Daripada Sejarah Palestin: Jangan Kita Ulangi Kesilapan Yang Sama” mendakwa kononnya tanda-tanda sama seperti yang berlaku di Palestin sedang muncul di Malaysia apabila ekonomi dan tanah strategik negara didakwa semakin dikuasai oleh bukan Islam dan bukan bumiputera.
“Beliau menulis bahawa gedung-gedung besar, syarikat utama dan tanah-tanah strategik sudah lama keluar daripada genggaman umat Islam, malah kononnya kini mereka sudah sampai ke Putrajaya untuk menggubal undang-undang dan menata kuasa politik negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syahredzan berkata, perbandingan yang dibuat Ahmad Marzuk itu adalah keterlaluan dan tidak bertanggungjawab kerana mengaitkan rakyat bukan Islam serta bukan Melayu dengan tindakan zalim rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
“Tiada siapa menafikan kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin, tetapi menyamakan rakyat Malaysia bukan Islam dan bukan Melayu dengan penjajah Zionis adalah tidak berasas dan tidak boleh diterima sama sekali,” katanya lagi.
Beliau berkata, kenyataan sedemikian tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang wakil rakyat kerana ia hanya menimbulkan kebimbangan dan ketegangan antara kaum.
“Rakyat bukan Islam dan bukan Melayu telah bersama-sama membangunkan negara ini sejak merdeka. Mengheret mereka ke dalam naratif perkauman seperti ini amat tidak wajar,” katanya lagi.
Syahredzan turut mengingatkan bahawa Malaysia baru sahaja menyambut perayaan Deepavali dalam suasana muhibah dan perpaduan, seiring dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu rakyat mempertahankan kepelbagaian sebagai kekuatan negara.
“Malangnya, kenyataan seperti ini menunjukkan bahawa PAS masih terperangkap dalam politik lama yang bersifat perpecahan.
“Rakyat perlu menolak politik berasaskan kebencian kaum dan agama,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau turut mencabar rakan sekutu PAS dalam Perikatan Nasional serta gabungan lain di bawah Ikatan Prihatin Rakyat untuk menyatakan pendirian mereka terhadap kenyataan Ahmad Marzuk yang disifatkan tidak bertanggungjawab itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








