Jangan jadi ‘kaduk naik junjung’ – Akmal Salleh
KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Salleh mengingatkan semua pihak agar memahami asas Perlembagaan Persekutuan sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan polemik perkauman.
Beliau menegaskan bahawa sesiapa sahaja yang menganggap dirinya sebagai warganegara Malaysia perlu menghayati dan memahami secara mendalam dua perkara penting dalam Perlembagaan, iaitu Perkara 152 dan 153.

“Perkara 152 memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan Malaysia ialah bahasa Melayu.
“Namun ini tidak menafikan hak kaum lain untuk menggunakan, mempelajari dan mengembangkan bahasa masing-masing, malah ia boleh disokong melalui dana awam,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Tambah beliau, Perkara 153 pula memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah serta Sarawak, di samping menjaga kepentingan sah kaum-kaum lain di negara ini.
“Sebelum buat kenyataan sebegini, fahamilah sejarah dan asas pembentukan negara. Jangan jadi seperti ‘kaduk naik junjung’,” tegasnya.
Akmal juga menegaskan bahawa Malaysia tidak akan lari daripada identiti asalnya.
“Selamanya ini adalah Tanah Melayu dan perkara itu tidak akan berubah. Faham!” ujarnya.
Kenyataan tersebut sebagai respons terhadap Pengerusi Biro Hubungan Etnik dan Agama MCA, Roger Yapp yang menyangkal kata-kata Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan mengatakan Malaysia bukan milik mana-mana kaum secara eksklusif, sebaliknya adalah milik semua warganegaranya.
Menurut Roger lagi, masa depan negara mesti diasaskan kepada kepercayaan, persefahaman dan cita-cita bersama antara pelbagai kaum, bukannya ketakutan, kebencian atau perpecahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








