BERITA SEMASADALAM NEGERI

Jangan cepat menghukum: Penceraian bukan ukuran jahat atau baik

KUALA LUMPUR – Isu penceraian selebriti sering menjadi buah mulut masyarakat, sehingga ada yang tanpa segan menuduh atau meneka-neka punca berakhirnya rumah tangga seseorang.

Terbaharu, tular perbincangan mengenai pelakon popular Fattah Amin yang bakal mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Amira Othman selepas perpisahannya dengan pelakon Fazura.

Fattah Amin Amira Othman
Fattah bakal melangsungkan perkahwinan dengan Amira pada 14 September ini.

Ada yang mengaitkan status duda sebagai tanda kegagalan atau sifat tidak baik pada pihak lelaki.

Namun, menurut penulis bebas Syahr Musafir, sikap suka membuat andaian hanya membuka ruang kepada fitnah dan sangkaan buruk.

“Bercerai itu bukan bermakna lelaki tidak baik dan bukan juga tanda wanita itu tidak bagus.

“Ada banyak faktor yang menyebabkan pasangan memilih jalan berpisah dan kita sebagai orang luar tidak tahu duduk perkara sebenar,” katanya dalam catatan di Facebook.

Beliau mengimbau kembali kisah penceraian selebriti terkenal seperti Yusry Abdul Halim (KRU) dengan Erra Fazira yang pernah digelar Wedding of the Year.

Walaupun rumah tangga mereka berakhir, kedua-duanya tidak pernah membuka aib atau mendedahkan punca perpisahan, sebaliknya tetap menjaga maruah masing-masing.

“Kemudian apabila Yusry memilih untuk bernikah dengan Lisa Surihani, ada pula suara-suara sumbang yang memperlekehkan statusnya sebagai duda. Sedangkan hari ini, mereka hidup bahagia dengan tiga cahaya mata,” ujarnya.

Katanya lagi, masyarakat sering lupa bahawa takdir perkahwinan berbeza bagi setiap pasangan.

Ada yang berpisah kerana tekanan keluarga, ada yang terpaksa memilih jalan itu akibat perhubungan jarak jauh, malah ada juga yang masih saling menyayangi tetapi diuji dengan faktor luar jangka.

“Jodoh mereka sampai di situ sahaja. Itu takdir yang perlu difahami. Maka menjadi duda bukan bermakna lelaki itu jahat, dan menjadi janda juga bukan bermakna wanita itu buruk akhlak,” tegasnya.

Sehubungan itu, Syahr menyeru agar orang ramai berhenti mengutuk atau menilai peribadi selebriti hanya berdasarkan khabar angin.

“Mereka tidak pernah pun menyakiti kita. Apa hak kita untuk menuduh mereka tidak baik?

“Lebih baik kita doakan Fattah dan Amira disatukan dengan baik, Fazura dipermudahkan kehidupannya dan anak hasil pernikahan terdahulu dijaga dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau menegaskan, sebelum menuding jari kepada orang lain, masyarakat wajar melihat kelemahan diri sendiri terlebih dahulu.

“Setiap kali kita kata orang itu tidak baik, jangan lupa kita ini pun tidaklah baik mana,” tambahnya.

Sehingga kini, hantaran tersebut berjaya meraih 22,000 reaksi, 1,000 komen dan 5,400 perkongsian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button