GAYA HIDUPRENCANA

Rider Grab, susu anak dan hikmah sedekah

TINDAKAN seorang pengasas produk dan penulis motivasi, Dzuriasikim Dzulkefli berkongsi kisah seorang rider Grab yang menghantar pesanan ke rumahnya baru-baru ini menyentuh hati netizen.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook, Dzuriasikim menceritakan bagaimana beliau sentiasa berusaha memberikan tip kepada rider sebagai tanda penghargaan atas usaha mereka yang gigih mencari rezeki meredah hujan dan panas demi memenuhi pesanan pelanggan.

Perkongsian seorang pengasas produk kesihatan, Dzuriasikim di Facebook mengenai kisah rider Grab yang mencari duit untuk membeli susu anak mengundang sebak dalam kalangan netizen.

Bagaimanapun, kejadian terbaru menyentuh emosi beliau apabila rider itu membalas mesejnya selepas menerima ‘hadiah’ tersebut dengan mengucapkan:

“Rezeki susu anak saya, kak. Memang hari ini saya buat Grab untuk cari duit susu dia. Terima kasih sangat, kak.”

Kata-kata rider itu menyebabkan Dzuriasikim mengimbas kembali zaman susahnya dahulu.

“Sungguh saya sayu. Teringat saya pernah keluar berniaga setiap awal pagi sebelum Subuh hanya dengan kudrat dan keinginan untuk memberi makan dan bagi membayar yuran sekolah anak.

Tangkap layar perbualan beliau dengan rider Grab tersebut.

“Saya keluar menjual kadang tak ada duit pun dalam tangan. Nak buat duit baki pun tak ada. Betul-betul berbekalkan tawakal kepada Allah. Makna tawakal, kalau tak ada jualan pada hari itu bermakna tak akan ada duit untuk anak-anak makan, beli susu anak, beli lampin pakai buang.

“Tetapi selalu sahaja akan ada jualan. Paling kurang RM25. Cukuplah. Selama saya susah dulu belum pernah anak saya perlu berlapar. Walau makan minum dan kehidupan kami tidak sebaik orang lain,” tulis beliau.

Tambahnya, Allah lah yang telah menggerakkan hatinya untuk berkongsi rezeki.

“Perasaan itu hadir dengan tiba-tiba. Bila dengar dia nak beli susu anak, saya tambah sedikit lagi pemberian kepadanya.

“Adik ini berterima kasih berkali-kali dan mendoakan yang baik-baik buat saya. Doa daripada orang yang bersyukur begini, besar nilainya bagi saya.

“Saya bayangkan wajah anak dan isterinya yang bahagia bila dia pulang membawa sedikit barang keperluan dan susu. Dia seorang ayah yang hebat dan bertanggungjawab,” tulisnya lagi.

Jawapan balas rider berkenaan mengenai tujuannya bekerja pada hari itu adalah untuk mencari duit bagi membeli susu anaknya.

Perkongsian Dzuriasikim berjaya meraih 8,900 reaksi, 2,000 perkongsian dan 486 komen dari netizen.

Malah, ada individu yang turut meminta kod QR rider tersebut untuk mereka sama-sama berkongsi rezeki.

Apa yang pasti, kisah ini menjadi pengajaran berharga buat kita semua tentang pentingnya bersedekah, walaupun kecil jumlahnya kerana ia mungkin membawa perubahan besar kepada kehidupan orang lain.

Sedekah bukan sahaja meringankan beban penerima, tetapi juga menjadi asbab keberkatan rezeki si pemberi dan beroleh manfaat di akhirat nanti.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 254 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Sedekahlah sebahagian daripada rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datangnya hari ketika tiada lagi jual beli, tiada lagi persahabatan dan tiada lagi syafaat.”

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button