PENDAPATRENCANA

Jangan biar FOMO rosakkan makna Aidilfitri

Oleh HAMIZAH SUDIN

Walaupun Syawal sudah menjengah minggu kedua, keriangan sambutan Hari Raya Aidilfitri masih terasa.

Aidilfitri adalah masa untuk mengeratkan silaturahim, memohon keampunan dan mensyukuri nikmat setelah sebulan berpuasa.

Namun, di sebalik kemeriahan ini, wujud tekanan tidak kelihatan khususnya apabila masyarakat terperangkap dalam fenomena Fear of Missing Out (FOMO).

Laman sosial seperti Instagram dan Facebook, yang pada asalnya bertujuan menghubungkan sesama insan, kini menjadi pentas untuk menayangkan versi ‘sempurna’ Aidilfitri yang lengkap dengan pakaian berjenama, juadah mewah dan hiasan rumah yang memukau.

Paparan sebegini sering kali mencetus rasa tidak cukup, membuatkan sesetengah individu merasa rendah diri dan terpinggir apabila tidak mampu menyaingi kemewahan yang dipertontonkan.

Media sosial yang bertujuan menghubungkan sesama insan, kini menjadi pentas untuk menayangkan versi ‘sempurna’ Aidilfitri seseorang.

Akibat tekanan untuk kelihatan setara, ramai yang sanggup berbelanja melebihi kemampuan.

Ada yang berhutang semata-mata untuk menyediakan sambutan yang tampak gah daripada pakaian serba baru, dekorasi rumah sehinggalah pemberian duit raya.

Akhirnya, beban kewangan dan tekanan emosi menyusul selepas hari raya berlalu.

Pakar psikologi juga menyuarakan kebimbangan iaitu perlumbaan untuk memenuhi ekspektasi media sosial boleh menjejaskan kesihatan mental.

Kerisauan, tekanan dan rasa kesunyian seringkali berpunca daripada sikap membandingkan diri dengan kehidupan orang lain yang hanya ditayangkan pada permukaan laman sosial.

Sebaliknya, Islam menyeru kepada kesederhanaan dan keikhlasan.

Aidilfitri bukanlah medan untuk berlumba-lumba menunjukkan kekayaan, sebaliknya masa untuk memperbaiki hubungan dan memperkukuh keimanan.

Hari Raya Aidilfitri perlu diraikan mengikut batasan syariat agar mendapat pandangan dan rahmat daripada Allah SWT.

Kini, semakin ramai yang memilih pendekatan sederhana dalam meraikan Syawal seperti menghidangkan juadah yang ringkas tetapi menyelerakan, mengenakan pakaian yang bersahaja dan memanfaatkan masa bersama keluarga tersayang.

Pendekatan ini bukan sahaja lebih menjimatkan, malah memberi ketenangan yang tulen.

Seperti sabda Nabi Muhammad SAW: “Sedekah tidak akan mengurangkan harta.”

Ia satu peringatan bahawa keberkatan dan kebahagiaan tidak bergantung kepada jumlah harta, tetapi pada keikhlasan dan hubungan yang dibina sesama manusia.

Tip Elak FOMO di Hari Raya:

* Kurangkan masa di media sosial

Luangkan masa untuk menonton rancangan Hari Raya atau berehat dari gajet.

* Utamakan hubungan sebenar

Adakan aktiviti bersama keluarga, bukan sekadar bergambar untuk tontonan umum.

* Amalkan rasa syukur

Hargai setiap nikmat walaupun kecil, kerana itulah sebenar-benarnya makna Aidilfitri.

Kesimpulannya, Aidilfitri yang dirai dengan hati yang tenang dan bersyukur akan meninggalkan kenangan yang lebih bermakna daripada apa jua kemewahan yang dipamerkan di skrin telefon. Marilah kita sambut dan raikan Syawal yang berbaki dengan sederhana, tapi penuh makna.

*Penulis merupakan pelajar Fakulti Kepimpinan & Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button