BAKAT sediakan 16,000 beg sumbangan untuk anggota tentera sempena Aidilfitri
KUALA LUMPUR – Sebanyak 16,000 beg sumbangan Hari Raya Aidilfitri akan diagihkan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di perbatasan negara.
Inisiatif kebajikan itu dilaksanakan oleh Bahagian Perkhidmatan Anggota (BPA), Seksyen Kebajikan ATM dengan kerjasama Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) ATM menerusi program pembungkusan sumbangan Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026M.
Markas ATM dalam kenyataan hari ini berkata, program itu memperkukuh peranan BAKAT dalam mendukung tonggak kelima perintah ulung Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24.

Acara pembungkusan yang berlangsung di Dewan Mulia, Rumah BAKAT ATM, Kem Kementah diketuai oleh Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM, Datin Siti Juana Md Ibrahim yang juga isteri kepada PAT, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman.
“Kira-kira 50 ahli BAKAT daripada BAKAT Darat, Laut dan Udara terlibat dalam menjayakan program tersebut.
“Sebanyak 16,000 beg disiapkan secara berperingkat sejak sebulan lalu, dengan 400 beg terakhir disempurnakan dalam satu acara khas hari ini sebagai simbol solidariti kepada anggota yang tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga kerana tugasan,” menurut kenyataan tersebut.
Majlis penyerahan rasmi sumbangan dijadual berlangsung pada 10 Mac ini dan akan disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai tanda sokongan kepimpinan tertinggi kementerian terhadap kesejahteraan warga ATM.
Kesemua beg sumbangan itu kemudiannya akan diserahkan kepada markas formasi perkhidmatan sebelum diagihkan kepada anggota yang bertugas pada hari pertama Aidilfitri.

Inisiatif berkenaan selari dengan Tonggak Ke-5 Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera ke-24 iaitu ‘Cakna Anggota, Keluarga dan Veteran ATM, Berpisah Tiada’ yang menekankan bahawa kekuatan ketenteraan bukan sahaja bergantung kepada aset dan keupayaan operasi, malah kesejahteraan serta moral anggota dan keluarga.
Program tahunan itu turut menjadi wadah ahli BAKAT menzahirkan penghargaan kepada perwira negara selaras dengan slogan ‘Bersama Berbakti’ sekali gus memperkukuh ekosistem sokongan dalaman ATM.
“Pelaksanaan sumbangan di seluruh ATM mencerminkan pendekatan kebajikan yang inklusif dan menyeluruh, selain memberi mesej bahawa ATM bukan sahaja benteng kedaulatan negara, tetapi institusi yang menitikberatkan kebajikan warganya secara holistik,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








