BERITA SEMASA

LLM jangka trafik lebuh raya capai 3.49 juta kenderaan sehari sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangka jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya akan meningkat mendadak sehingga 3.49 juta sehari pada hari puncak sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Penolong Pengarah Kanan Pusat Pemantauan Operasi LLM, Ahmad Kamil Abdul Halim berkata, tempoh tiga hari puncak perjalanan bermula hari ini hingga Jumaat dijangka mencatatkan kepadatan trafik tertinggi.

Menurutnya, trafik dijangka meningkat bermula tengah hari memandangkan cuti persekolahan sempena sambutan Aidilfitri bermula hari ini.

“LLM menjangka Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) akan mencatat trafik tertinggi dengan 2.3 juta kenderaan sehari, meningkat 22 peratus berbanding purata harian.

“Lebuhraya KL-Karak (KLK) pula dijangka menerima 210,000 kenderaan, manakala Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) sebanyak 215,000 kenderaan sehari, peningkatan 84 peratus berbanding biasa,” katanya memetik laporan BH Online.

Tambah beliau, bagi memastikan kelancaran trafik, LLM mengeluarkan arahan larangan penutupan lorong bagi kerja penyelenggaraan selama hampir dua minggu bermula hari ini.

“Selain itu, LLM akan mengaktifkan 34 lokasi Smart Lane di seluruh negara dan memantau aliran trafik 24 jam sehari secara real-time,” katanya.

Ahmad Kamil turut menasihatkan pengguna lebuh raya memastikan baki e-Wallet dan kad Touch ‘n Go mencukupi, merancang perjalanan melalui Cadangan Jadual Perjalanan (TTA) di aplikasi MyPLUS-TTA atau laman web AFA Prime.

“Pengguna juga boleh memanfaatkan aplikasi baharu LLM, TuJu Navigasi Lebuhraya (TuJu) untuk maklumat trafik terkini dan paparan CCTV lebuh raya secara langsung,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button