BERITA SEMASA

Isu lorong basikal bukan soal warga asing, tetapi keselamatan – ADUN Subang Jaya

SUBANG JAYA – Isu penggunaan lorong basikal di Subang Jaya tidak seharusnya dilihat dari sudut kewarganegaraan, sebaliknya perlu difokuskan kepada aspek keselamatan semua pengguna jalan raya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berkata, dakwaan kononnya kemudahan itu “dimonopoli” warga asing adalah tidak tepat dan mengalih perhatian daripada tujuan sebenar pembinaannya.

Menurutnya, lorong basikal diwujudkan bagi memastikan keselamatan semua pihak tanpa mengira sama ada mereka rakyat tempatan atau warga asing.

“Kita bercakap mengenai nyawa. Infrastruktur berbasikal ini adalah untuk melindungi pengguna jalan raya,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.

Beliau turut berkongsi pengalaman ketika menuntut di London, di mana basikal menjadi pengangkutan utama kerana kekangan kewangan.

“Ketika itu, kemudahan yang disediakan tidak membezakan antara warga tempatan atau asing, sebaliknya bertujuan memastikan keselamatan pengguna,” katanya lagi.

Menurut beliau, ketika ini kedua-dua golongan, sama ada rakyat tempatan mahupun warga asing, sudah menggunakan basikal untuk bergerak di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan bertanggungjawab menyediakan infrastruktur yang selamat dan mencukupi.

“Jika tidak, mereka terpaksa berkongsi jalan dengan kenderaan bermotor, yang jelas tidak adil dan berbahaya,” katanya lagi

Beliau turut menyeru orang ramai agar lebih berempati dan tidak membangkitkan isu berunsur perpecahan dalam perbincangan awam.

“Tidak penting sama ada mereka tempatan atau warga asing, kita bertanggungjawab memastikan keselamatan semua,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button