Israel roboh lebih 600 rumah rakyat Palestin sejak awal tahun 2025
RAMALLAH – Lebih 623 rumah dan struktur milik penduduk Palestin dirobohkan oleh rejim Israel di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur, sejak awal tahun ini.
Menurut Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA), tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada kempen berterusan rejim Israel untuk mengusir penduduk Palestin dan mengukuhkan kawalan mereka di wilayah diduduki itu.
Laporan WAFA menyebut, langkah itu adalah kesinambungan dasar “pembersihan etnik” yang menyasarkan kawasan penempatan Palestin, selain memberi tekanan berterusan terhadap kehidupan harian rakyat Palestin dan memburukkan lagi krisis perumahan di kota suci berkenaan.

Penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur dilaporkan berdepan kesukaran besar untuk mendapatkan permit pembinaan, manakala mereka yang membina tanpa kebenaran berisiko dikenakan denda besar atau diarah merobohkan kediaman sendiri.
“Penduduk Palestin berkata Israel jarang memberikan permit pembinaan di Area C, sekali gus menyukarkan sebarang pembinaan atau pembangunan tanah,” memetik laporan agensi berita antarabangsa Anadolu.
Sementara itu, Norwegian Refugee Council (NRC) dalam laporannya menyatakan, sebanyak 1,288 struktur Palestin telah dirobohkan antara Januari hingga September 2025 dengan purata hampir lima struktur setiap hari iaitu peningkatan 39 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
“Keluarga-keluarga kini kehilangan rumah, air dan sumber kehidupan dalam usaha yang dirancang untuk mengusir mereka dari tanah sendiri bagi memberi laluan kepada penempatan haram,” kata Pengarah Wilayah Timur Tengah & Afrika Utara NRC, Angelita Caredda.
Beliau turut menegaskan, pemusnahan rumah dan kemudahan asas seperti bekalan air, tenaga solar dan tangki kumbahan telah “memusnahkan nadi kehidupan” banyak kampung Palestin.
Sementara itu, Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa tindakan pemindahan paksa penduduk Palestin daripada kawasan seperti Masafer Yatta di selatan Tebing Barat boleh disifatkan sebagai jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa.
“Tindakan ini boleh dikategorikan sebagai pemindahan paksa, yang merupakan satu jenayah perang,” kata kenyataan mereka seperti dilaporkan The Guardian.
Kesatuan Eropah (EU) pula dalam kenyataannya sebelum ini menyatakan bahawa angka perobohan dan serangan peneroka di Tebing Barat tahun lalu mencatat paras tertinggi sejak rekod dicatatkan.
Laporan WAFA menyebut, penduduk Palestin yang kehilangan rumah kini hidup dalam keadaan tidak menentu tanpa tempat tinggal tetap, terputus sumber air dan elektrik serta berdepan risiko pengusiran berulang.
Tindakan perobohan itu turut mengundang kecaman daripada pelbagai pihak antarabangsa yang menyifatkannya sebagai “pola sistematik” untuk mengubah demografi wilayah itu dan menghalang pembentukan negara Palestin merdeka di masa depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







