Iran buka semula ruang udara kepada semua penerbangan
TEHRAN – Iran kembali membuka ruang udaranya kepada penerbangan domestik, asing dan transit antarabangsa bermula semalam, menurut Kementerian Jalan Raya dan Pembangunan Bandar negara itu.
Agensi berita Xinhua melaporkan keputusan itu dibuat selepas mendapat kelulusan Pertubuhan Penerbangan Awam Iran serta penilaian keselamatan dan sekuriti yang terperinci berdasarkan keadaan semasa negara.
Dalam satu kenyataan di laman web rasmi, pertubuhan itu memaklumkan penerbangan telah disambung semula daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Mehrabad dan Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini di ibu negara Tehran.
Ia termasuk lapangan terbang di wilayah utara, timur, barat dan selatan negara itu kecuali di Isfahan dan Tabriz yang terletak di wilayah tengah dan barat laut Iran.
BACA : Iran tangguh buka penuh ruang udara
“Lapangan terbang di Tehran serta wilayah utara, barat dan selatan kini mengendalikan penerbangan domestik dan asing dari pukul 5 pagi hingga 6 petang waktu tempatan (1.30 pagi hingga 2.30 petang GMT),” menurut kenyataan tersebut.
Kementerian itu juga memberi jaminan lapangan terbang di Isfahan dan Tabriz akan beroperasi semula sebaik sahaja infrastruktur dapat disediakan.
Pada 13 Jun lalu, Iran bertindak menutup ruang udaranya susulan serangan udara Israel ke atas Tehran dan kawasan lain.
Bagaimanapun, selepas konflik memuncak selama 12 hari, kedua-dua negara mencapai persetujuan gencatan senjata pada 24 Jun.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















