Tsunami dijangka landa Hawaii, Jepun, Chile dan pesisir Rusia selepas gempa di Kamchatka
HONOLULU – Pusat Amaran Tsunami Pasifik (PTWC) memberi amaran ombak setinggi satu hingga tiga meter berpotensi melanda beberapa kawasan pesisir termasuk Hawaii, Chile, Jepun dan Kepulauan Solomon, susulan gempa bumi kuat berukuran 8.7 magnitud yang melanda Kamchatka, Rusia awal pagi ini.
Menurut PTWC, gelombang tsunami melebihi tiga meter pula dijangka menghentam kawasan pesisir di Rusia dan Ecuador.
“Tsunami yang terhasil boleh membawa kerosakan serius kepada kawasan pesisir di semua pulau Hawaii.
“Tindakan segera perlu diambil untuk melindungi nyawa dan harta benda,” kata Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) Amerika Syarikat dalam kenyataan awal pagi tadi.
Di Jepun, gegaran dari gempa turut dirasai secara ringan di wilayah Hokkaido, pulau paling utara negara itu.
Gelombang tsunami pertama dijangka tiba kira-kira satu setengah jam selepas kejadian gempa berlaku, menurut Agensi Meteorologi Jepun.
Pakar seismologi Universiti Tokyo, Prof. Shinichi Sakai menjelaskan bahawa gempa cetek walaupun berlaku pada jarak jauh, masih mempunyai keupayaan untuk mencetuskan tsunami yang boleh mengancam Jepun.
“Negara ini terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik yang aktif, menjadikannya antara lokasi paling kerap mengalami gempa bumi di dunia,” katanya.
Gempa pagi ini merupakan kejadian kedua berskala besar yang melanda Kamchatka dalam tempoh dua minggu, selepas kawasan sama digegarkan oleh lima gempa bumi kuat, termasuk satu berukuran 7.4 magnitud lebih seminggu lalu.
Untuk rekod, pada 4 November 1952, satu gempa bumi besar berukuran 9.0 magnitud melanda Kamchatka dan mencetuskan ombak tsunami setinggi 9.1 meter di Hawaii.
Bagaimanapun, tiada kematian direkodkan dalam insiden itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















