Imigresen Sabah usir 24 warga China ditahan dalam operasi khas
SEMPORNA – Jabatan Imigresen (JIM) Sabah telah menghantar pulang 24 warga China ke negara asal mereka selepas ditahan dalam satu operasi di Semporna, bulan lalu.
Kesemua 23 lelaki dan seorang wanita yang terlibat dalam pelanggaran Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 itu telah disekat secara kekal daripada memasuki negara ini semula.
Pengarah Imigresen Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, penghantaran pulang itu dilaksanakan kelmarin hasil tangkapan menerusi Ops Kutip, Ops Mahir dan Ops Sapu yang dijalankan di Semporna pada 21 April lalu.
Operasi berkenaan membabitkan pemeriksaan terhadap 45 individu sebelum 34 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Semua yang ditahan terdiri daripada 33 warga China membabitkan 30 lelaki dan tiga wanita dewasa serta seorang lelaki warga Pakistan.
“Mereka disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, proses siasatan dan pendakwaan terhadap sebahagian tahanan itu dibuat di Mahkamah Sesyen Tawau pada 4 Mei lalu membabitkan sembilan warga China.
Katanya, enam lelaki warga China didakwa mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 namun mengaku tidak bersalah sebelum dibebaskan dengan jaminan mahkamah hingga kes disebut semula pada 11 Jun depan.
“Sementara itu, dua wanita dan seorang lelaki warga China pula dituduh atas dua kesalahan iaitu mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Ketiga-tiga mereka mengaku bersalah dan membayar denda bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, namun tiada jaminan diberikan mahkamah bagi pertuduhan mengikut Peraturan 39(b),” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















