BERITA SEMASA

Hargai peranan pengamal media, kerajaan negeri Perak umum insentif RM500

IPOH – Peranan pengamal media sebagai rakan strategik kerajaan negeri dalam menyampaikan agenda pembangunan Perak terus dihargai apabila Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan pemberian insentif one-off sebanyak RM500 kepada mereka.

Menurut Saarani, sumbangan media amat signifikan dalam menjayakan pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030, khususnya melalui penyampaian berterusan kisah kejayaan, inisiatif dan pencapaian negeri kepada rakyat merentasi pelbagai platform termasuk akhbar, televisyen, radio dan media digital.

Beliau berkata, kejayaan dasar, perancangan dan inisiatif kerajaan negeri hanya dapat difahami serta dirasai rakyat apabila ia disampaikan secara jelas, jujur dan berkesan oleh media.

“Apa sahaja yang dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan, akhirnya akan dinilai melalui cara ia disampaikan kepada masyarakat.

“Ada kalanya satu laporan yang jelas dan jujur jauh lebih berkesan berbanding berpuluh halaman dokumen rasmi,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Media Perak Sejahtera 2025 di Galasa Caldwell, di sini malam tadi.

Saarani turut mengimbau pengalamannya sepanjang berinteraksi dengan media yang disifatkan penuh warna termasuk menerima pujian, teguran serta kritikan.

“Sepanjang perjalanan ini, ada masanya saya dipuji, ada waktunya ditegur dan ada kalanya dipanah dengan kritikan. Semua itu adalah sebahagian daripada proses yang mematangkan kepimpinan,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin; Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Azmir Shah Zainal Abidin; barisan Exco kerajaan negeri serta Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak, Sayed Mohd Hesham Sayed Idris.

Saarani menegaskan, hubungan antara kerajaan negeri dan media tidak wajar bersifat sementara atau kebetulan, sebaliknya perlu dipupuk secara berterusan berasaskan kepercayaan, keterbukaan dan tanggungjawab bersama.

Menurut beliau, laporan media yang mengandungi kritikan atau persoalan tajam tidak seharusnya dianggap sebagai serangan, sebaliknya dilihat sebagai cermin untuk menilai kelemahan dan memperkemaskan pentadbiran.

“Hubungan yang sihat antara kerajaan dan media akan memastikan naratif pembangunan difahami dengan betul, isu diletakkan dalam konteks tepat dan rakyat tidak terperangkap dalam kekeliruan atau persepsi yang disalah tafsir,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa dalam era maklumat separuh benar, sensasi dan manipulasi emosi, peranan media yang bertanggungjawab serta mengutamakan ketepatan menjadi semakin penting.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button