Hajiji sayu hati dengan pemergian Bung Moktar
KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Ahli Parlimen Kinabatangan dan ADUN Lamag merangkap Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang telah kembali ke rahmatullah awal pagi tadi.
“Berita pemergian Allahyarham adalah amat mengejutkan bagi seluruh rakyat Sabah dan sesungguhnya, rasa sayu hati ini dengan pemergian seorang sahabat dan rakan seperjuangan.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, mengampunkan dosa-dosa beliau dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman.
Al-Fatihah,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.
Allahyarham Bung Moktar meninggal dunia pada usia 66 tahun, kurang seminggu selepas dipilih untuk penggal kedua sebagai ADUN Lamag.
Ahli Parlimen Kinabatangan selama enam penggal itu merupakan Pengerusi UMNO Sabah dan BN Sabah.
Terdahulu, anaknya Naim Kurniawan Moktar mengesahkan bahawa Bung berada dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, Sabah.
Dipilih buat pertama kali pada 1999, Bung telah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di bawah enam Perdana Menteri berbeza iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



















