Guru sekolah swasta maut digilis treler di Lebuhraya SILK
KUALA LUMPUR – Perjalanan pulang seorang guru sekolah swasta menaiki motosikal berakhir tragedi apabila maut selepas terjatuh sebelum digilis treler dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 21.7 Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK) arah Semenyih, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asistan Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada pukul 6.30 petang apabila motosikal yang ditunggang lelaki berusia 25 tahun itu merempuh bahagian belakang sebuah motosikal di hadapannya.
“Pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal yang melanggar hilang kawalan sebelum terjatuh ke arah sebuah treler yang sedang bergerak.
“Pemandu treler yang tidak menyedari kejadian kemudian merempuh mangsa dan motosikalnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
“Penunggang serta pembonceng sebuah lagi motosikal dan pemandu treler yang juga warga tempatan berusia antara 36 hingga 43 tahun tidak mengalami kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Naazron turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-3268496 bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








