BERITA SEMASA

‘Guru Bitara Nadi Negara’ angkat peranan pendidik sebagai pemacu masa depan

SEREMBAN – Tema sambutan Hari Guru tahun ini, ‘Guru Bitara Nadi Negara’ menzahirkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan penting warga pendidik sebagai tunjang utama pembangunan negara serta pemangkin dalam melahirkan generasi masa depan yang berdaya saing dan berwibawa.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, konsep Guru Bitara menekankan tanggungjawab guru dalam membentuk potensi murid secara menyeluruh termasuk mengenal pasti bakat serta mempersiapkan mereka sebagai pemimpin negara pada masa hadapan.

“Guru Bitara bukan sekadar menyelesaikan sukatan pelajaran ditetapkan, sebaliknya berperanan membina makna dalam setiap proses pembelajaran serta berupaya mendepani cabaran dan memimpin perubahan dalam sistem pendidikan.

“Keutamaan ketika ini adalah untuk melahirkan lebih ramai Guru Bitara yang berilmu, berkemahiran tinggi, berfikiran kritis serta berakhlak mulia,” katanya memetik laporan Metro Online.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Program Gerakan Massa #terimakasihcikgu peringkat kebangsaan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa sambutan Hari Guru tahun ini akan diadakan di negeri Perak pada 15 hingga 16 Mei, manakala Negeri Sembilan bakal menjadi tuan rumah bagi sambutan tahun 2027.

Kah Woh turut menegaskan bahawa peranan guru kekal sebagai elemen penting dalam ekosistem pendidikan negara yang kini melibatkan lebih 5.1 juta murid, kira-kira 420,000 warga pendidik serta lebih 10,251 sekolah di seluruh negara.

“Ini merupakan satu institusi yang amat besar dan warga pendidik memainkan peranan yang sangat penting, bukan sahaja mengajar di dalam bilik darjah tetapi turut membantu membina insan yang cemerlang dalam akademik serta mampu menjadi sebahagian daripada pimpinan negara pada masa hadapan,” katanya.

Beliau menambah, Kementerian Pendidikan (KPM) telah melatih dan menempatkan lebih 53,000 guru baharu di seluruh negara sejak 2023 hingga tahun lalu.

Selain itu, Institut Pendidikan Guru (IPG) terus memainkan peranan penting dalam melatih guru berkualiti, khususnya bagi sekolah rendah.

Mengulas mengenai program yang dilancarkan, Wong berkata pelaksanaan Gerakan Massa: #terimakasihcikgu menyasarkan penglibatan aktif ibu bapa, komuniti dan pihak swasta dalam aktiviti sekolah, selain memperluas kerjasama sektor swasta bagi menyediakan sokongan dana, peralatan serta tenaga sukarelawan.

Menurutnya, kempen tersebut juga berfungsi sebagai platform untuk menghargai jasa guru secara berterusan sepanjang tahun dan tidak terhad kepada sambutan Hari Guru semata-mata.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button