BERITA SEMASALUAR NEGARA

Gunung berapi tidak aktif di Kamchatka meletus kali pertama dalam 450 tahun

MOSCOW – Gunung berapi Krasheninnikov di wilayah Kamchatka, Rusia timur dilaporkan meletus buat kali pertama dalam tempoh lebih 450 tahun, menurut pihak berkuasa kecemasan negara itu hari ini.

Letusan luar biasa itu berlaku beberapa hari selepas gempa bumi 8.8 skala Richter iaitu yang terkuat pernah dicatatkan di rantau berkenaan sehingga mencetuskan amaran tsunami di pesisir Jepun, Hawaii dan beberapa negara di sekitar Lautan Pasifik.

Maklumat daripada Program Vulkanisme Global oleh Institusi Smithsonian menyatakan kali terakhir gunung berapi tersebut meletus adalah pada tahun 1550.

Imej yang dikongsi media rasmi Rusia menunjukkan kepulan abu tebal membumbung tinggi dari puncak Krasheninnikov mencapai ketinggian dianggarkan 6,000 meter.

Kementerian Situasi Kecemasan Kamchatka dalam satu kenyataan memaklumkan kepulan abu itu sedang bergerak ke arah timur menuju Lautan Pasifik dan setakat ini tiada kawasan berpenduduk berada dalam laluan abu berkenaan.

“Tiada hujan abu direkodkan di mana-mana kawasan kediaman,” menurut kementerian tersebut menerusi saluran Telegram rasmi.

Sementara itu, kod amaran penerbangan berstatus jingga telah dikeluarkan bagi kawasan sekitar gunung berapi berkenaan menandakan kemungkinan gangguan kepada penerbangan.

Letusan Krasheninnikov itu berlaku selepas Gunung Klyuchevskoy, gunung berapi tertinggi yang masih aktif di Eropah dan Asia meletus minggu lalu.

Klyuchevskoy merupakan antara gunung berapi paling kerap meletus di Rusia dengan sekurang-kurangnya 18 letusan direkodkan sejak tahun 2000.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button