BERITA SEMASA

Guna nama, gambar dalam artikel palsu, Amran Ahmad mahu ambil tindakan undang-undang 

KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) yang juga aktivis politik, Dr Amran Ahmad hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang hari ini bagi membuat laporan polis berhubung penyiaran artikel palsu yang disiarkan oleh portal berita Malaysiakini.

Amran berkata, artikel palsu itu turut menggunakan nama dan gambarnya secara tidak sah.

Katanya, artikel bertajuk “Antara nukilan Azizulhasni dan keprihatinan menteri” yang didakwa mengandungi pujian melampau terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh jelas bertentangan dengan pendirian politiknya selama ini yang lantang mengkritik pimpinan DAP.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya menulis artikel tersebut. Ia adalah satu pemalsuan identiti dan cubaan untuk menjatuhkan reputasi serta memperdaya pembaca seolah-olah saya telah beralih sokongan kepada DAP,” kata kepada media selepas membuat laporan polis hari ini.

Menurut beliau, tindakan Malaysiakini itu telah mengakibatkan beliau dikecam hebat di media sosial dan mengalami tekanan emosi susulan penghinaan serta tohmahan yang dilemparkan oleh masyarakat, khususnya daripada kalangan pengikut beliau sendiri.

Dalam pada itu Amran turut menegaskan beliau sedang mendapatkan nasihat perundangan untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap portal berkenaan atas dakwaan fitnah dan pencemaran nama baik.

“Saya tidak akan berdiam diri. Ini bukan sahaja soal maruah peribadi, tetapi juga integriti dunia kewartawanan yang telah lama saya perjuangkan,” tegasnya.

Dalam masa terdekat, Amran berkata, beliau akan memfailkan tuntutan saman terhadap pihak yang bertanggungjawab serta menuntut permohonan maaf terbuka dan penarikan semula artikel berkenaan.

Sementara itu, portal berita Malaysiakini mengakui kesilapan pada nama penulis artikel berkenaan.

Jelasnya, artikel tersebut ditulis oleh Ahmad Amran dan bukannya oleh Amran Ahmad.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button