BERITA SEMASA

Gardenia KL diarah jelaskan kenaikan harga roti – KPDN

KUANTAN – Syarikat pengeluar roti Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) diberi masa enam hari bagi memberikan penjelasan berhubung kenaikan harga 30 jenis roti miliknya bermula 1 Oktober ini.

Notis tersebut dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semalam, kata Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh.

Kata Fuziah, notis yang dikeluarkan itu, merupakan sebahagian daripada usaha KPDN mengelakkan berlakunya kenaikan harga yang tidak munasabah sehingga boleh membebankan rakyat.

“Pihak Gardenia perlu menjawab notis itu dalam tempoh enam hari sebab kita hendak tahu semua kos terbabit, sebagai contoh harga tepung digunakan, kos pengangkutan, borong dan runcit.

“Keseluruhan rantaian bekalan ini perlu dijelaskan,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas menghadiri Program Jualan Rahmah Bergerak Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Lumpur di Projek Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra, di sini hari ini.

Katanya, KPDN akan melakukan pengiraan secara komprehensif selepas menerima penjelasan Gardenia KL nanti, bagi menentukan sama ada kenaikan harga barangan makanan itu rasional atau tidak.

KPDN tidak dapat menghalang sesebuah syarikat untuk menaikkan harga barangan mereka, bagaimanapun penetapan harga sebenarnya masih boleh dikawal mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan.

Gardenia KL sebelum ini mengesahkan 30 produk mereka akan mengalami kenaikan harga antara 10 dan 40 sen, selepas menyemak semula harga bagi produk terpilih.

Namun harga roti putih, roti gandum penuh dan roti Toast’em masih kekal bagi memastikan kenaikan tidak membebankan majoriti pelanggan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button