BERITA SEMASA

Sorok beras putih tempatan, kilang disita

CYBERJAYA – Sebuah kilang beras di Kedah disita setelah disyaki menyorokkan beras putih tempatan (BPT) seberat 180 tan metrik yang tidak dinyatakan di dalam lesen.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Fong Hin berkata, simpanan beras gred Super Spesial Tempatan 5 peratus (SST5) yang dipercayai disorokkan itu ditemukan dalam satu serbuan, semalam.

“(Susulan itu) Pasukan petugas khas bertindak menyita BPT yang berada di dalam gudang tersebut dengan hasil sitaan dianggarkan bernilai RM405,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Fong Hin, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Kilang-Kilang Padi) 1996, jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM25,000 atau digantung lesen.

Beliau turut memberi amaran keras kepada pengilang supaya mematuhi peraturan dan tidak mengambil kesempatan ketika rakyat berdepan masalah kekurangan BPT.

“Jangan mengambil kesempatan kerana ini masanya kita berganding bahu untuk menjamin bekalan makanan berpatutan untuk rakyat.

“Bukannya menekan pengguna atau pesawah demi mengaut keuntungan yang lebih,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button